close
Pergi ke kandungan

Teogoni

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Theogony)
Teogoni 
oleh Hesiod
Manuskrip Yunani abad ke-14 bagi Teogoni karya Hesiod dengan catatan yang ditulis pada jidar
Tajuk asalΘεογονία
DitulisAbad ke-8 SM
BahasaBahasa Yunani Purba
SubjekMitologi Yunani,
Agama Yunani purba
GenreEpik, Didaktik[1]
Baris1022
Baca dalam talianTeogoni at Wikisource

Teogoni (Yunani Purba: Θεογονία, rumi: Theogonía[2], lit.'salasilah atau kelahiran dewa-dewa'[3]) ialah sebuah puisi oleh Hesiod (abad ke-8–7 SM) yang menghuraikan asal-usul dan salasilah dewa-dewi Yunani, digubah s.730–700 SM.[4] Ia ditulis dalam dialek epik bahasa Yunani kuno dan mengandungi 1,022 baris. Ia salah satu sumber terpenting untuk memahami kosmologi Yunani awal.

Penerangan

[sunting | sunting sumber]

Teogoni karya Hesiod merupakan sintesis berskala besar daripada pelbagai tradisi dewa-dewi tempatan Yunani, yang disusun sebagai naratif yang menceritakan asal usul mereka dan bagaimana mereka terus menguasai kosmos. Ia merupakan kosmogoni mitos Yunani pertama yang diketahui. Pada awalnya, alam semesta dalam kekacauan, lohong gelap tidak berbatas, dianggap sebagai keadaan azali suci yang memulakan segala kewujudan. Teogoni ialah bahagian mitologi Yunani yang menjelaskan realiti serta asal usul alam semesta. Dorongan untuk memahami segala-galanya ini menjadi asas kepada usaha-usaha awal—dan yang berterusan hingga kini—untuk memikirkan dan meneka-neka tentang hakikat alam semesta..[5]

Dalam petikan "Raja-raja dan Penyanyi" (80 – 103)[6] Hesiod memberikan dirinya sendiri kuasa yang biasanya dikhaskan untuk raja. Beliau menyatakan bahawa beliau, bukan kepada raja, telah dikurniakan oleh para Muse dua anugerah iaitu sebuah tongkat kerajaan dan suara berwibawa (Hesiod, Teogoni 30–3), iaitu tanda-tanda keberajaan yang fizikal. Tujuannya bukan untuk menjadikan Hesiod seorang raja. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan kini beralih kepada pemuisi yang melaungkan Teogoni tersebut.

Sembilan muses pada sebuah sarkofagus Rom (abad kedua Masihi)—Louvre, Paris

Walaupun sering dijadikan rujukan mitologi Yunani,[7] Teogoni lebih daripada itu. Secara formalnya, ia lagu pujian yang menyeru Zeus dan para Muse: persamaan antara karya ini dengan Lagu Pujian kepada Muse Homer yang jauh lebih pendek menunjukkan bahawa Teogoni berkembang daripada tradisi lagu pujian awalan—karya deskriptif yang sering dinyanyikan, yang dengannya seorang pendendang epik Yunani purba akan memulakan persembahannya di pertandingan puisi. Teogoni bukanlah sumber muktamad mitologi Yunani, sebaliknya hanyalah gambaran tradisi dinamik yang dirumus dan dibukukan oleh Hesiod—sedangkan tradisi tersebut terus berevolusi selepas itu.

Bentuk bertulis Teogoni telah termaktub pada abad ke-6 SM. Malah beberapa penyunting konservatif telah menyimpulkan bahawa episod Typhon (820–68) merupakan satu interpolasi.[8]

Hesiod mungkin dipengaruhi beberapa tradisi Asia Barat, seperti Dinasti Dunnum dari Babylon,[9] yang bercampur dengan tradisi tempatan. Akan tetapi, lebih mungkin ia peninggalan daripada tradisi Mycenae berbanding hasil hubungan dunia timur pada zaman Hesiod sendiri.

Pentafsiran teks-teks mitos bahasa Het, terutamanya teks Keberajaan di Syurga yang pertama kali dibentangkan pada tahun 1946, menampilkan tema pengembirian. Watak Kumarbi memberikan versi Anatolia bagi konflik yang sama antara Uranus dan Kronos dalam karya Hesiod.[10]

Salasilah

[sunting | sunting sumber]

Dewa-dewi pertama

[sunting | sunting sumber]

Dunia bermula dengan penjanaan spontan empat makhluk: pertama muncul Khaos (Lohong); kemudian datang Gaia (Bumi), "asas yang sentiasa teguh bagi segalanya"; Tartaros yang "malap", di perut Bumi; dan Eros (Cinta) "yang paling indah antara dewa-dewi abadi".[11]

Daripada Khaos muncul Erebus (Kegelapan) dan Nyx (Malam). Dan Nyx "daripada penyatuan cinta" dengan Erebus menghasilkan Aether (Cahaya) and Hemera (Siang).[12] Daripada Gaia muncul Uranus (Langit), Ourea (Pergunungan) dan Pontos (Laut).[13]

Anak-anak Gaia dan Uranus

[sunting | sunting sumber]

Uranus bersetubuh dengan Gaia dan dia melahirkan dua belas Titan: Okeanos, Koios, Krius, Hyperion, Iapetus, Theia, Rhea, Themis, Mnemosyne, Phoebe, Tethys dan Kronos;[15] para Siklops: Brontes, Steropes dan Arges;[16] dan para Hekatonkheires ("Tangan Seratus"): Kottus, Briareos dan Gyges.[17]

Anak-anak daripada darah Uranus dan kemaluan Uranus

[sunting | sunting sumber]
Kelahiran Venus oleh William-Adolphe Bouguereau (s.1879)

Semasa Kronos mengembirikan Uranus, daripada darah Uranus yang terpercik ke bumi, munculnya Erinyes (Furies), para Gergasi dan Meliai (nimfa-nimfa pokok ash). Kronos mencampakkan kemaluan yang terkerat itu ke dalam laut, di mana buih terhasil dan bertukar menjadi dewi Aphrodite.[19]

Keturunan Nyx

[sunting | sunting sumber]

Sementara itu, Nyx (Malam) melahirkan anak-anak dengan sendirinya: Moros (Malapetaka), Ker (Takdir), Thanatos (Maut), Hypnos (Tidur), Oneiroi (Mimpi), Momus (Cercaan), Oizys (Kemeranaan), Hesperides (Anak-anak Perempuan Malam), Moirai (para Nasib),[21] Keres (para Nasib-nasib), Nemesis (Pembalasan), Apate (Tipu Daya), Philotes (Kasih Sayang), Geras (Usia Tua) dan Eris (Perselisihan).[22]

Kemudian, daripada Eris seorang diri, munculnya Ponos (Kesukaran), Lethe (Kelupaan), Limos (Kebuluran), Algea (Kepedihan), Hysminai (Pertempuran), Makhai (Peperangan), Phonoi (Pembunuhan), Androktasiai (Pembunuhan Manusia), Neikea (Pertengkaran), Pseudea (Pembohongan), Logoi (Cerita), Amphillogiai (Pertikaian), Dysnomia (Anarki), Ate (Kemusnahan) dan Horkos (Sumpah).[23]

Keturunan Gaia dan Pontos

[sunting | sunting sumber]

Selepas Uranus dikembiri, Gaia bersetubuh dengan anak lelakinya Pontos (Laut) lalu menghasilkan garis keturunan yang kebanyakannya dewa-dewi laut, nimfa laut dan raksasa kacukan. Anak pertama mereka Nereus (Orang Tua Laut) berkahwin dengan Doris, salah seorang para Okeanid, anak perempuan Titan, Okeanos dan Tethys, lalu mereka menghasilkan para Nereid, lima puluh nimfa laut, yang termasuk Amphitrite, Thetis dan Psamathe. Anak kedua mereka Thaumas berkahwin dengan Elektra, seorang lagi Okeanid dan zuriat mereka ialah Iris (Pelangi) dan dua Harpy: Aello dan Okypete.[25]

Anak ketiga dan keempat Gaia dan Pontos, Phorkys dan Keto, berkahwin sesama sendiri dan menghasilkan dua Graiae: Pemphredo dan Enyo, serta tiga Gorgon: Stheno, Euryale dan Medusa. Poseidon bersetubuh dengan Medusa dan dua zuriat, kuda bersayap Pegasus dan pahlawan Khrysaor, dilahirkan apabila wira Perseus memenggal kepala Medusa. Khrysaor berkahwin dengan Kallirhoe, seorang lagi Okeanid dan mereka menghasilkan Geryon yang berkepala tiga.[26] Seterusnya ialah Ekhidna yang separuh nimfa separuh ular[27] (siapa ibunya tidak jelas, mungkin Keto, atau kemungkinan Kallirhoe).[28] Zuriat terakhir Keto dan Phorkys ialah seekor ular (tidak dinamakan dalam Teogoni, kemudiannya dipanggil Ladon, oleh Apollonius dari Rhodes) yang mengawal epal-epal emas.[29]

Keturunan Ekhidna dan Typhon

[sunting | sunting sumber]

Gaia juga bersetubuh dengan Tartaros untuk menghasilkan Typhon,[38] yang dikahwini oleh Ekhidna, menghasilkan beberapa keturunan raksasa.[39] Tiga zuriat pertama mereka ialah Orthus, Kerberos dan Hydra. Seterusnya ialah Khimera (yang ibunya tidak jelas, sama ada Ekhidna atau Hydra).[40] Akhirnya Orthus (pasangannya tidak jelas, sama ada Khimera atau Ekhidna) menghasilkan dua zuriat: Sfinks dan Singa Nemea.[41]

Keturunan para Titan

[sunting | sunting sumber]

Para Titan, iaitu Okeanos, Hyperion, Koios dan Kronos mengahwini saudara perempuan mereka Tethys, Theia, Phoebe and Rhea, manakala Krios mengahwini saudara tiri perempuannya Eurybia, anak perempuan Gaia dan anak lelakinya, Pontos. Daripada Okeanos dan Tetis lahirlah tiga ribu dewa sungai (termasuk Nilus [Nil], Alpheus dan Skamander) dan tiga ribu bidadari Okeanid (termasuk Doris, Elektra, Kallirrhoe, Styx, Klymene, Metis, Eurynome, Perseis dan Idyia). Daripada Hyperion dan Theia lahirlah Helios (Matahari), Selene (Bulan) dan Eos (Fajar) dan daripada Krios dan Eurybia lahirlah Astraios, Pallas dan Perses. Daripada Eos dan Astraios lahirlah angin-angin: Zephyros, Boreas dan Notos, Eosphoros (Pembawa Fajar, yakni Venus, Bintang Timur) dan Bintang-bintang. Daripada Pallas dan anggota Okeanid, Styx, lahirlah Zelos (Iri hati), Nike (Kemenangan), Kratos (Kuasa) dan Bia (Kekuatan).[45]

Daripada Koios dan Foibe lahirlah Leto dan Asteria, yang berkahwin dengan Perses, melahirkan Hekate,[46] dan daripada Kronos dan kakaknya, Rea, lahirlah Hestia, Demeter, Hera, Hades, Poseidon dan Zeus.[47] Titan Iapetos berkahwin dengan Okeanid Klymene dan melahirkan Atlas, Menoitios, Prometheos dan Epimetheos.[48]

Anak-anak Zeus dan tujuh pasangannya

[sunting | sunting sumber]
Kelahiran Minerva oleh René-Antoine Houasse (sebelum 1688)

Zeus kemudian bersetubuh dengan tujuh dewi, tiga daripadanya - Metis, Themis dan Hera - dinyatakan ialah isterinya secara jelas.[53][54] Isteri pertamanya ialah seorang Okeanid, Metis, yang dihamilkannya dengan Athena, lalu—atas nasihat Gaia dan Uranus—menelan Metis supaya tiada anak lelaki daripadanya dengan Metis yang akan menggulingnya, seperti yang telah diramalkan.[55] Isteri kedua Zeus ialah ibu saudaranya, seorang Titan, Themis, yang melahirkan ketiga-tiga Horae (Musim): Eunomia (Ketertiban), Dikē (Keadilan), Eirene (Kedamaian); dan tiga Moirai (Nasib):[56] Klotho (Pemintal), Lakhesis (Pembahagi) dan Atropos (Tegar). Zeus kemudian mempunyai hubungan dengan seorang lagi Okeanid, Eurynome, yang melahirkan tiga Kharites (Rahmat): Aglaia (Kegemilangan), yang dikahwini oleh Hephaistos, Euphrosyne (Kegembiraan) dan Thalia (Keceriaan).[57]

Pasangan keempat Zeus ialah kakaknya, Demeter, yang melahirkan Persephone. Pasangan kelima Zeus ialah seorang lagi ibu saudara, Mnemosyne Si Titan, yang daripadanya lahir sembilan Muses: Klio, Euterpe, Thalia, Melpomene, Terpsikhore, Erato, Polymnia, Urania dan Kalliope. Pasangan keenamnya ialah Leto Si Titan, yang melahirkan Apollo dan Artemis. Pasangan ketujuh dan isteri terakhir Zeus ialah kakaknya Hera, ibu kepada Hebe, Ares dan Eileithyia melalui Zeus.[58]

Zeus akhirnya "melahirkan" sendiri Athena menerusi kepalanya, yang menyebabkan Hera sangat marah sehingga dia melahirkan sendiri anak lelakinya Hephaistos, dewa api dan tukang besi.[59]

Keturunan lain daripada bapa-bapa dewa

[sunting | sunting sumber]

Daripada Poseidon dan si Nereid, Amphitrite, lahirnya Triton dan daripada Ares dan Aphrodite lahirnya Phobos (Ketakutan), Deimos (Kegerunan) dan Harmonia (Keharmonian). Zeus, dengan anak perempuan Atlas, Maia, menghasilkan Hermes dan dengan manusia fana Alkmene, menghasilkan wira Herakles, yang mengahwini Hebe. Zeus dan manusia fana Semele, anak perempuan Harmonia dan Kadmus, pengasas dan raja pertama Thebes, menghasilkan Dionysos, yang mengahwini Ariadne, anak perempuan Minos, raja Krete. Helios dan si Okeanid Perseis menghasilkan Kirke, Aeetes, yang menjadi raja Kolkhis dan mengahwini si Okeanid Idyia, menghasilkan Medea.[64]

Anak-anak kepada ibu dewi dengan bapa fana

[sunting | sunting sumber]
Venus dan Anchises oleh William Blake Richmond (1889 atau 1890)

Dewi Demeter bersetubuh dengan manusia fana Iasion dan melahirkan Plutus. Selain Semele, dewi Harmonia dan manusia fana Kadmus juga melahirkan Ino, Agave, Autonoë dan Polydorus. Eos (Fajar) dengan manusia fana Tithonus, melahirkan wira Memnon dan Emathion dan dengan Kephalus, melahirkan Phaethon. Medea dengan manusia fana Iason, melahirkan Medius, si Nereid Psamathe dengan manusia fana Aeakus, melahirkan wira Phokos, si Nereid Thetis, dengan Peleus melahirkan pahlawan agung Akhilles dan dewi Aphrodite dengan manusia fana Ankhises melahirkan wira Trojan, Aeneas. Dengan Odysseus si wira, Kirke akan melahirkan Agrius, Latinus dan Telegonus dan anak perempuan Atlas Kalypso juga akan melahirkan dua anak lelaki Odysseus, Nausithoos dan Nausinous.[74]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. "Hesiod | Greek poet". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Mac 2024.
  2. Yunani Attik: [tʰeoɡoníaː]
  3. θεογονία. Liddell, Henry George; Scott, Robert; A Greek–English Lexicon di Perseus Project
  4. West 1966, hlm. 45.
  5. Sandwell, Barry (1996). Presocratic Philosophy vol.3. New York: Routledge. ISBN 9780415101707. p. 28
  6. Stoddard, Kathryn B. (2003). "The Programmatic Message of the 'Kings and Singers' Passage: Hesiod, Theogony 80-103". Transactions of the American Philological Association. 133 (1): 1–16. doi:10.1353/apa.2003.0010. JSTOR 20054073. S2CID 161532502.
  7. Herodotus (II.53) memetiknya hanya sebagai senarai berwibawa bagi nama, sifat dan fungsi dewa-dewi.
  8. F. Solmsen, Hesiod and Aeschylus (Ithaca: Cornell Studies in Classical Philology 30) 1949:53 dan nota 179 dengan petikan; "jika satu interpolasi," Joseph Eddy Fontenrose memerhati (Python: a study of Delphic myth and its origins: 71, nota 3), "ia telah dibuat cukup awal."
  9. Lambert, Wilfred G.; Walcot, Peter (1965). "A New Babylonian Theogony and Hesiod". Kadmos. 4 (1): 64–72. doi:10.1515/kadm.1965.4.1.64. S2CID 162417685.
  10. Walter Burkert, The Orientalizing Revolution: Near Eastern Influence on Greek Culture in the Early Archaic Age (Harvard University Press) 192, menawarkan perbincangan dan bibliografi soalan berkaitan.
  11. Theogony 116122 (Most, ms. 12, 13). West 1966, ms. 192 baris 116 Χάος, "paling baik diterjemahkan sebagai Lurah"; Most, ms. 13, menterjemah Χάος sebagai "Lurah", dan menyatakan: (n. 7): "Biasanya diterjemahkan sebagai 'Khaos'; tetapi itu memberi gambaran yang mengelirukan kepada kita tentang timbunan jirim yang tidak teratur, sedangkan istilah Hesiod sebaliknya menunjukkan jurang atau bukaan". Terjemahan lain yang diberikan dalam bahagian ini mengikut terjemahan yang diberikan oleh Caldwell, ms. 56.
  12. Theogony 123125 (Most, ms. 12, 13).
  13. Theogony 126132 (Most, ms. 12, 13).
  14. Theogony 116132 (Most, ms. 12, 13); Caldwell, ms. 5, jadual 3; Hard, ms. 694; Gantz, ms. xxvi.
  15. Theogony 132138 (Most, ms. 12, 13).
  16. Theogony 139146 (Most, ms. 14, 15).
  17. Theogony 147153 (Most, ms. 14, 15).
  18. Theogony 132153 (Most, ms. 12, 13); Caldwell, ms. 5, jadual 3.
  19. Theogony 173206 (Most, ms. 16, 17).
  20. Theogony 183200 (Most, ms. 16, 17); Caldwell, ms. 6, jadual 4.
  21. 1 2 Di 904 Moirai adalah anak-anak perempuan Zeus dan Themis.
  22. Theogony 211225 (Most, ms. 20, 21). Terjemahan nama-nama yang digunakan di sini adalah yang diberikan oleh Caldwell, ms. 6, jadual 5.
  23. Theogony 226232 (Most, ms. 20, 21). Terjemahan nama-nama yang digunakan di sini adalah yang diberikan oleh Caldwell, ms. 6, jadual 5.
  24. Theogony 211232 (Most, ms. 20, 21); Caldwell, ms. 67, jadual 5.
  25. Theogony 233269 (Most, ms. 22, 23).
  26. Theogony 270294 (Most, ms. 24, 25).
  27. Theogony 295305 (Most, ms. 26, 27).
  28. Kata ganti "dia" di 295 adalah samar. Walaupun ada yang membaca "dia" ini sebagai merujuk kepada Callirhoe, menurut Clay, ms. 159 n. 32, "konsensus sarjana moden" membacanya sebagai Keto, lihat contohnya Gantz, ms. 22; Caldwell, ms. 7, 46 295–303.
  29. Theogony 333336 (Most, ms. 28, 29); Apollonius dari Rhodes, 4.1396.
  30. Theogony 233297, 333335 (Ladon) (Most, ms. 22, 23, 28, 29); Caldwell, ms. 7, jadual 69; Hard, ms. 696.
  31. Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, pada 350.
  32. Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, pada 349.
  33. Lima puluh nimfa laut, termasuk: Amphitrite ( 243), Thetis ( 244), Galatea ( 250), dan Psamathe ( 260).
  34. Siapa ibu Ekhidna yang sepatutnya tidak jelas, dia mungkin Keto, tetapi kemungkinan Callirhoe. Kata ganti "dia" di 295 adalah samar. Walaupun ada yang membaca "dia" ini sebagai merujuk kepada Callirhoe, menurut Clay, ms. 159 n. 32, "konsensus sarjana moden" membacanya sebagai Keto, lihat contohnya Gantz, ms. 22; Caldwell, ms. 7, 46 295–303.
  35. Tidak dinamakan oleh Hesiod, tetapi diterangkan pada 334335 sebagai ular ngeri yang mengawal epal emas.
  36. Anak kepada Cronus dan Rhea pada 456, di mana dia dipanggil "Earth-Shaker".
  37. 1 2 Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, pada 351. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "ReferenceA" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  38. Theogony 821822 (Most, ms. 68, 69).
  39. Theogony 304332 (Most, ms. 26, 27).
  40. Kata ganti "dia" di 319 adalah samar, lihat Clay, ms. 159, dengan n. 34, tetapi mungkin merujuk kepada Ekhidna, menurut Gantz, ms. 22; Most, ms. 29 n.18; Caldwell, ms. 47 pada baris 319–325; tetapi kemungkinan Hydra, atau kurang kemungkinan Keto.
  41. Kata ganti "dia" di 326 adalah samar, lihat Clay, ms. 159, dengan n. 34, tetapi mungkin merujuk kepada Khimera menurut Gantz, ms. 23; Most, ms. 29 n. 20; West 1988, ms. 67 n. 326; tetapi kemungkinan kepada Ekhidna atau kurang kemungkinan kepada Keto.
  42. Theogony 304–327, 821822 (Typhon) (Most, ms. 26, 27, 68, 69); Caldwell, ms. 8, jadual 10; Hard, ms. 696.
  43. Siapa ibu Khimera yang sepatutnya tidak jelas, dia mungkin Ekhidna, tetapi kemungkinan Hydra.
  44. Dengan siapa Orthrus mengawan tidak jelas, mungkin Khimera, tetapi kemungkinan Ekhidna.
  45. Theogony 337388 (Most, ms. 30, 31). Terjemahan nama-nama yang digunakan di sini mengikut Caldwell, ms. 8.
  46. Theogony 404411 (Most, ms. 34, 35).
  47. Theogony 453458 (Most, ms. 38, 39).
  48. Theogony 507511 (Most, ms. 42, 43).
  49. Theogony 337411, 453520 (Most, ms. 30, 31, 38, 39); Caldwell, ms. 89, jadual 1113; Hard, ms. 695.
  50. 3,000 dewa sungai, di mana 25 daripadanya dinamakan: Nilus, Alfeus, Eridanos, Strimon, Maiandros, Istros, Fasis, Rhesus, Akhelous, Nessos, Rhodius, Haliakmon, Heptaporus, Granicus, Aisepos, Simoeis, Peneus, Hermos, Caicus, Sangarios, Ladon, Parthenius, Evenus, Aldeskos, Skamander.
  51. 3,000 anak perempuan, di mana 41 daripadanya dinamakan: Peitho, Admete, Ianthe, Elektra, Doris, Prymno, Urania, Hippo, Klimene, Rhodea, Kalirhoe, Zeuxo, Clitie, Idia, Pasithoe, Plexaura, Galaxaura, Dione, Melobosis, Thoe, Polydora, Cerceis, Plouto, Perseis, Ianeira, Akaste, Xanthe, Petraea, Menestho, Europa, Metis, Eurinome, Telesto, Chryseis, Asia, Calypso, Eudora, Tike, Amphirho, Okirhoe, dan Stiks.
  52. Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tetis, di 361.
  53. Grimal, s.v. Hera
  54. Kubiak, Zygmunt (2005). Mitologia Greków i Rzymian [Mitologi Yunani dan Rom] (dalam bahasa Poland). Świat Książki. m/s. 172. ISBN 83-247-0125 Check |isbn= value: length (bantuan).
  55. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "pp. 74, 75"
  56. 1 2 Di 217 Moirai adalah anak perempuan Nyx.
  57. Theogony 901911. Terjemahan nama yang digunakan di sini mengikut Caldwell, hlm. 11, kecuali terjemahan Aglaea, Euphrosyne dan Thalia, yang menggunakan terjemahan oleh Most, hlm. 75.
  58. Theogony 912923 (Most, hlm. 7477).
  59. Theogony 924929 (Most, hlm. 76, 77).
  60. Theogony 886929 (Most, hlm. 74, 75); Caldwell, hlm. 11, jadual 14.
  61. 1 2 Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, di 358.
  62. Daripada anak-anak Zeus melalui tujuh isterinya, Athena adalah yang pertama dikandung ( 889), tetapi yang terakhir dilahirkan. Zeus menghamilkan Metis kemudian menelannya, kemudian Zeus sendiri melahirkan Athena "dari kepalanya" ( 924).
  63. Hephaestus dihasilkan oleh Hera sahaja, tanpa bapa di 927929. Dalam Iliad dan Odyssey, Hephaestus nampaknya anak kepada Hera dan Zeus, lihat Gantz, hlm. 74.
  64. Theogony 930962 (Most, hlm. 76, 77).
  65. Theogony 930962, 975976 (Most, hlm. 76, 77, 80, 81); Caldwell, hlm. 12, jadual 15.
  66. Salah seorang anak perempuan Nereid kepada Nereus dan Doris, di 243.
  67. Dipanggil dengan gelaran "Cytherea" ("dari Pulau Cythera") di 934.
  68. Cadmus ialah pengasas fana dan raja pertama Thebes; tiada keturunan diberikan dalam Theogony.
  69. Di 938 dipanggil "Atlantid" iaitu anak perempuan Atlas, menurut Apollodorus, 3.10.1, dia adalah salah seorang daripada tujuh Pleiades, anak perempuan Atlas dan Okeanid Pleione.
  70. Alcmene ialah cucu kepada Perseus, dan oleh itu cicit kepada Zeus.
  71. Anak perempuan Minos, raja Crete.
  72. Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, di 356.
  73. Salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys, di 352.
  74. Theogony 9631018 (Most, ms. 78, 79). Menurut West 1966, ms. 434 pada baris 1014, baris tersebut, yang menyatakan Circe sebagai ibu kepada Telegonus, berkemungkinan adalah interpolasi terkemudian (Byzantine?).
  75. Theogony 9691018 (Most, ms. 80, 81); Caldwell, ms. 12, jadual 15.
  76. Menurut Apollodorus, 3.12.1, Iasion ialah anak lelaki Zeus dan Elektra, salah seorang daripada tujuh Pleiades, anak perempuan Atlas dan Okeanid Pleione.
  77. Anak lelaki Apollo dan Cyrene, Diodorus Siculus, 4.81.12, Pausanias, 10.17.3.
  78. Salah seorang daripada anak perempuan Nereid kepada Nereus dan Doris, di 260.
  79. Salah seorang daripada anak perempuan Nereid kepada Nereus dan Doris, di 245.
  80. Menurut Caldwell, ms. 49 pada baris 359, Calypso ini, yang di tempat lain merupakan anak perempuan Atlas, "mungkin bukan" Calypso yang sama yang dinamakan di 359 sebagai salah seorang anak perempuan Okeanid kepada Okeanos dan Tethys; lihat juga West 1966, ms. 267 359. καὶ ἱμερόεσσα Καλυψώ; Hard, ms. 41.
  81. Menurut West 1966, ms. 434 pada baris 1014, baris tersebut, yang menyatakan Circe sebagai ibu kepada Telegonus, berkemungkinan adalah interpolasi terkemudian (Byzantine?).

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  •  Wikisumber Yunani mempunyai teks asli berkaitan dengan rencana ini: Θεογονία
  • Karya berkaitan Theogony di Wikisumber
  • Hesiod, Theogony: teks dalam terjemahan Inggeris.
  • Hesiod, Theogony e-teks dalam bahasa Yunani Purba (dari Perseus)
  • Hesiod, Theogony e-teks dalam bahasa Inggeris (dari Perseus)