close

2 Aug 2026

Panduan Permohonan Pengisytiharan Keluar Islam

Dalam konteks Malaysia, proses keluar islam bukan sekadar pengisytiharan peribadi atau pertukaran kepercayaan. Sebaliknya, status agama yang direkodkan secara rasmi melibatkan proses undang-undang yang lazimnya perlu melalui Mahkamah Syariah.

Ramai individu yang memeluk islam dan menjadi mualaf mendapati bahawa maklumat mengenai proses “keluar islam” sukar diperoleh. Ada yang bergantung pada khabar angin, pengalaman orang lain, atau maklumat yang tidak lengkap.

Akibatnya, mereka tidak cukup bersedia apabila mahu memulakan tindakan undang-undang. Demikian juga kesimpulan hasil mendengar perkongsian sejumlah mualaf yang bergelut untuk mengisytiharkan diri keluar dari islam.

Hasil perbincangan dengan peguam syarie dari negeri Perak, saya kongsikan sedikit panduan asas berkaitan permohonan “kebenaran untuk keluar dari agama islam”. Individu mualaf diminta berbincang dengan peguam syarie di negeri masing-masing untuk panduan lebih khusus dan terperinci.

Langkah pertama ialah memahami bahawa setiap negeri mempunyai enakmen dan prosedur yang berbeza. Walau bagaimanapun, prinsip umum yang diamalkan di Malaysia ialah Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama seseorang yang sudah didaftarkan sebagai muslim.

Mahkamah sivil pula lazimnya tidak akan membuat pengisytiharan keluar islam tanpa keputusan atau pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Prinsip ini diperkukuhkan melalui beberapa keputusan mahkamah yang terkenal, termasuk kes Lina Joy yang dihurai sebelum ini.

Sebelum memfailkan permohonan, pemohon perlu mengumpulkan semua dokumen berkaitan. Berdasarkan senarai semak rasmi yang digunakan di Mahkamah Syariah Negeri Perak dan berpeluang saya lihat, dokumen asas yang lazim diperlukan termasuk salinan kad pengenalan, surat nikah, sijil cerai atau rujuk (jika berkaitan), sijil kelahiran anak-anak, slip gaji atau dokumen pendapatan, perintah mahkamah terdahulu, serta apa-apa dokumen sokongan yang relevan dengan permohonan.

Semua dokumen itu hendaklah disediakan bersama salinan fotokopi yang mencukupi mengikut kehendak mahkamah. Pemohon juga perlu membawa dokumen asal pada hari sebutan dan perbicaraan.

Selain dokumen rasmi, pemohon digalakkan menyediakan bahan sokongan yang boleh membantu mahkamah syariah memahami keadaan sebenar. Antaranya ialah surat akuan berkanun, rekod penyertaan dalam agama lain, surat pengesahan daripada pertubuhan agama yang berkaitan, dokumen pembaptisan (jika ada), foto menyertai aktiviti keagamaan Bukan Islam, rekod pendidikan agama selain islam, atau sebarang dokumen yang menunjukkan identiti dan amalan keagamaan semasa selain islam.

Langkah seterusnya ialah menyediakan permohonan dan afidavit. Berdasarkan panduan Mahkamah Syariah Perak, permohonan hendaklah ditaip menggunakan kertas A4, fon Times New Roman saiz 12, jarak 1.5 baris, dan setiap perenggan perlu dinomborkan. Pernyataan hendaklah ringkas, tepat, dan padat. Elakkan penulisan yang terlalu panjang atau berbentuk cerita. Peguam syarie biasanya membantu menyediakan dokumen ini.

Dalam afidavit, pemohon perlu memperkenalkan diri dan menyatakan bahawa segala fakta yang dikemukakan adalah benar menurut pengetahuannya. Pemohon kemudian perlu menerangkan alasan permohonan secara jelas dan teratur.

Antara perkara yang lazim dihuraikan ialah latar belakang pemelukan islam, tempoh tidak mengamalkan ajaran islam, pegangan agama semasa, amalan keagamaan yang diamalkan sekarang, serta sebab-sebab mengapa pengisytiharan keluar islam dipohon.

Mahkamah lazimnya lebih mudah memahami fakta yang dikemukakan secara kronologi dan disokong oleh dokumen berkaitan.

Pemohon juga perlu bersedia menghadiri sebutan kes dan perbicaraan. Di sesetengah negeri, mahkamah syariah boleh mengarahkan sesi kaunseling, rundingan, atau program pemulihan akidah sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Tempoh proses ini berbeza mengikut negeri dan keadaan kes. Kajian akademik mengenai undang-undang Malaysia menunjukkan bahawa beberapa negeri memperuntukkan mekanisme pemulihan atau kaunseling sebagai sebahagian daripada prosedur sebelum sesuatu keputusan berkaitan keluar Islam diputuskan.

Dari sudut praktikal, saya sentiasa menasihati pemohon mualaf yang mahu memohon “kebenaran untuk keluar dari agama islam” supaya menyimpan satu fail khas yang mengandungi semua dokumen berkaitan. Setiap salinan hendaklah disusun mengikut kategori seperti dokumen pengenalan diri, dokumen keluarga, dokumen agama, dokumen pekerjaan, dan dokumen sokongan.

Langkah ini dapat memudahkan urusan dengan mahkamah dan peguam syarie. Harus diingat bahawa keseluruhan proses pasti mengambi masa bertahun-tahun.

Pemohon juga digalakkan mendapatkan khidmat peguam syarie yang berpengalaman dalam kes-kes pengisytiharan status agama. Walaupun seseorang boleh memfailkan permohonan sendiri, bantuan profesional sering memudahkan penyediaan dokumen, pematuhan prosedur, dan pengendalian isu teknikal yang mungkin timbul sepanjang prosiding.

Akhir sekali, seseorang yang bercadang membuat permohonan keluar islam perlu memahami bahawa proses ini bukan sekadar soal kepercayaan peribadi. Ia melibatkan aspek undang-undang, pentadbiran, dan dokumentasi yang kompleks.

Persediaan yang rapi, dokumen yang lengkap, fakta yang jelas, serta pemahaman terhadap prosedur mahkamah akan membantu memastikan permohonan dapat dikendalikan dengan lebih teratur dan berkesan.

Dalam keadaan apa sekali pun, pemohon hendaklah sentiasa merujuk Mahkamah Syariah di negeri masing-masing kerana prosedur, borang, dan keperluan dokumen boleh berubah dari semasa ke semasa mengikut peruntukan undang-undang negeri berkenaan.

Apabila segala prosedur ini diterangkan, individu mualaf biasanya mengeluh dan merungut kerana tidak pernah menyangka segala proses begitu rumit, memenatkan, dan memberi tekanan mental—berbeza dengan proses mudah sewaktu masuk islam.

Sebagai individu yang sempat mendalami islam sepenuhnyainside out—sebelum tinggalkan islam, saya  hanya mampu tersenyum penuh simpati kepada individu terbabit yang terlalu jahil tentang realiti masuk islam di Malaysia.

Bacalah juga catatan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” serta “Proses Keluar Islam di Malaysia”.

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

1 Aug 2026

Analisis: Jalan Sehala Menuju Svarga

Cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga” dalam buku Sebelas Amanat Swamiji (2025) memperlihatkan kebijaksanaan pengarang menggunakan teknik alegori untuk membincangkan isu sensitif berkaitan agama, identiti, dan gerakan dak*ah dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Cerpen ini bukan sekadar kisah tentang seorang individu yang memilih “jalan baharu”, malah merupakan kritikan sosial dan amaran halus kepada masyarakat Bukan Islam supaya lebih memahami agama sendiri sebelum mudah terpengaruh dengan pujukan pihak luar.

Dalam suasana negara yang mempunyai undang-undang ketat berkaitan keharmonian agama dan sensitiviti kaum, pengarang berjaya menyampaikan mesej secara simbolik tanpa menyerang mana-mana agama secara langsung. Pendekatan itu menjadikan cerpen ini bukan sahaja selamat dari sudut undang-undang, malah lebih berkesan dari segi kesan psikologi terhadap pembaca.

Sejak perenggan awal, pengarang menggambarkan “jalan” warisan nenek-moyang sebagai sesuatu yang kompleks, bersimpang-siur, dan sukar difahami. Jalan itu jelas melambangkan agama asal watak utama, khususnya tradisi spiritual dan falsafah yang kaya dengan simbol, konsep, serta pelbagai tafsiran.

Watak utama (“Dia”) pula mewakili segelintir masyarakat yang berasa keliru terhadap agama sendiri kerana tidak benar-benar memahami asasnya. Dia menganggap kerumitan sebagai kelemahan, sedangkan datuk, nenek, dan saudara-mara berkali-kali menjelaskan bahawa kerumitan itu sebenarnya lambang keluasan ilmu dan kebijaksanaan tradisi lama.

Pengarang secara tersirat menyampaikan hakikat bahawa ramai individu meninggalkan agama asal bukan kerana agama itu lemah atau salah, sebaliknya kerana mereka malas memahami, kurang didikan mendalam, atau gagal menghargai nilai intelektual dan spiritual yang terkandung di dalamnya.

Cerpen ini mampu mendidik umat Bukan Islam kerana mesej disampaikan melalui pengalaman emosi watak utama. Pembaca dapat melihat bagaimana rasa takut, keliru, dan tidak yakin terhadap identiti sendiri menjadi ruang yang mudah dieksploitasi puak tertentu.

Pengarang menunjukkan bahawa proses mempengaruhi seseorang tidak semestinya dilakukan melalui hujah teologi yang mendalam. Sebaliknya, ia boleh berlaku melalui pujukan psikologi, janji kemudahan hidup, ganjaran material, rasa diterima dalam komuniti baharu, dan dakwaan bahawa hanya satu “jalan” paling benar.

Watak “rakan” dan “rakan kepada rakan” menjadi simbol kepada golongan pendak*ah agresif yang menggunakan pendekatan manipulatif untuk merekrut pengikut baharu. Mereka menawarkan makanan percuma, wang, hadiah, layanan mesra, serta jaminan svarga (syurga).

Semua ini menggambarkan bagaimana gerakan dak*ah tertentu kadangkala lebih bergantung pada strategi pemasaran emosi berbanding usaha intelektual.

Kebijaksanaan pengarang terserlah apabila tidak menamakan mana-mana agama secara langsung. Istilah seperti “jalan baharu”, “jalan lurus”, “svarga”, dan “naraka” digunakan secara simbolik. Teknik ini amat penting kerana ia membolehkan pembaca membuat tafsiran sendiri tanpa pengarang terdedah kepada tuduhan kononnya menghina mana-mana agama.

Dalam konteks undang-undang Malaysia, tindakan menghina agama boleh mencetuskan implikasi serius. Namun begitu, pengarang mengelakkan risiko itu dengan memastikan cerpen berfungsi sebagai alegori terbuka. Pembaca yang matang akan memahami sindiran dan kritikan sosial yang cuba disampaikan, namun secara teknikal, tiada serangan langsung dilakukan terhadap mana-mana agama.

Selain itu, pengarang turut mengkritik budaya taksub dan fanatisme agama secara umum. Bahagian paling penting dalam cerpen ialah apabila watak utama mendapati “jalan lurus” yang dijanjikan sebenarnya mempunyai puluhan lorong berbeza yang saling menghina antara satu sama lain.

Adegan pengguna jalan membaling batu dan tahi sesama sendiri menjadi simbol konflik aliran/mazhab, perpecahan dalaman, dan budaya kafir-mengkafir yang wujud dalam sesetengah kelompok agama.

Di sini, pengarang bukan sekadar memberi amaran kepada masyarakat Bukan Islam tentang bahaya meninggalkan agama asal, malah turut mengajak pembaca berfikir secara kritikal tentang realiti sosial yang sering disembunyikan di sebalik slogan “jalan lurus”.

Penggunaan unsur “jalan sehala” juga amat signifikan. Watak utama akhirnya sedar bahawa dia tidak boleh berpatah balik selepas memasuki jalan baharu itu. Situasi ini menjadi metafora kepada tekanan sosial, ancaman, dan kesukaran yang mungkin dihadapi individu yang mahu keluar daripada sesuatu sistem kepercayaan tertentu.

Pengarang sekali lagi sangat berhati-hati dalam penyampaian. Pengarang tidak menyebut mana-mana negara, undang-undang, atau institusi agama secara eksplisit. Namun, pembaca tetap dapat menangkap rujukan terhadap realiti sosial yang sering diperdebatkan dalam masyarakat dunia. Teknik “show, don’t tell” digunakan dengan amat berkesan.

Cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga” juga berjaya mendidik pembaca Bukan Islam tentang pentingnya memahami agama sendiri secara mendalam sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.

Watak utama menyesal kerana membuat pilihan berdasarkan emosi dan janji indah tanpa penelitian. Pada penghujung cerpen, dia menyedari bahawa “jalan” asalnya sebenarnya tidak pernah menghalang kebebasan individu. Dia boleh berpatah balik, memilih laluan lain, dan menggunakan akal fikiran di “jalan” asal.

Kesedaran ini membawa mesej bahawa tradisi lama yang dianggap “kompleks” mungkin sebenarnya lebih terbuka dan anjal berbanding gambaran stereotaip yang dibentuk dalam fikiran sendiri.

Dari sudut sastera, kekuatan cerpen ini terletak pada penggunaan metafora yang konsisten dan mudah difahami. Jalan raya dijadikan lambang kehidupan beragama, manakala simpang, lorong, hentian, dan perjalanan pula menjadi simbol kepada pilihan ideologi dan pengalaman spiritual manusia.

Teknik alegori seperti ini mengingatkan pembaca kepada tradisi karya satira dan falsafah yang menggunakan simbol untuk membincangkan isu berat secara selamat dan mendalam.

Pengarang tidak berkhutbah secara langsung kepada pembaca, sebaliknya membina situasi yang membolehkan pembaca membuat renungan sendiri.

Secara keseluruhan, “Jalan Sehala Menuju Svarga” ialah sebuah cerpen yang sangat cermat, berlapis, dan berani. Pengarang berjaya menyampaikan amaran kepada masyarakat Bukan Islam tentang bahaya jika mudah terpengaruh dengan pujukan pendak*ah luar tanpa memahami identiti sendiri terlebih dahulu.

Pada masa sama, pengarang mengelakkan pelanggaran undang-undang dan sensitiviti agama melalui penggunaan alegori, simbolisme, dan bahasa kiasan.

Cerpen ini bukan karya kebencian, sebaliknya sebuah karya peringatan sosial yang mengajak pembaca menggunakan akal, memahami tradisi sendiri, dan berhati-hati terhadap sebarang bentuk manipulasi ideologi yang berselindung di sebalik janji kesenangan serta keselamatan spiritual.

Bacaan seterusnya: Membongkar Amanat Prashamsaneeji

31 Jul 2026

Rumah yang Menyimpan Bayang – Bahagian Empat



Bahagian 4: Hikayat Musang Menjadi Penjaga Reban

[Baca – Bahagian Tiga] Pagi datang tanpa meminta izin. Itulah sifat pagi. Ia tidak peduli siapa tidur lena, siapa sedang menyembunyikan sesuatu, atau siapa masih mahu hidup dalam cerita semalam. Matahari tetap naik. Ayam tetap berkokok. Kedai kopi tetap membuka pintu.

Tetapi aku tahu sesuatu telah berubah. Rumah itu tidak lagi sama. Kayunya masih sama. Tangga masih sama. Pokok rambutan masih sama. Malah, tahi cicak di dinding pun masih berada di tempat sama.

Namun, ada perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata. Umpamanya, bau hujan sebelum awan muncul. Misalnya, rasa takut sebelum seseorang mengaku takut. Contohnya, retak pada tempayan yang belum mengeluarkan air.

Aku duduk di bawah kerusi rotan Mak Timah sambil melihat manusia berkumpul di halaman. Kali ini bukan untuk minum petang, kenduri, mahupun meraikan kejayaan seseorang.

Mereka berkumpul kerana manusia ada satu kelemahan yang pelik. Mereka lebih cepat berkumpul apabila ada masalah berbanding apabila ada kebahagiaan.

Kebahagiaan sering membuat orang iri hati, manakala masalah membuat orang rasa mereka tidak keseorangan lagi.

“Jangan biarkan orang kampung tahu dulu.”

Itu ayat pertama yang aku dengar. Rahman berdiri di tengah ruang tamu. Wajahnya masih kemas seperti biasa, tetapi ada sesuatu yang hilang.

Keyakinan. Ya, keyakinan dalam dirinya.

Manusia selalu fikir keyakinan adalah sesuatu yang mereka miliki. Sebenarnya, keyakinan umpama cahaya lampu; kelihatan lebih jelas ketika malam gelap. Tetapi apabila matahari terbit, barulah kita tahu sama ada cahaya itu benar-benar ada atau hanya bayangan.

“Kalau kita diam, keadaan mungkin reda,” kata seseorang dari belakang.

Mak Timah yang duduk di hujung ruang hanya menggeleng.

“Dulu orang tua-tua kata, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru,” ulasnya.

Semua terdiam. Aku suka peribahasa manusia. Kadangkala ia lebih jujur berbanding manusia yang mengucapkannya.

Di belakang rumah, seekor ayam putih berjalan perlahan-lahan. Aku kenal ayam itu. Namanya tidak diketahui manusia tetapi aku menamakannya Sang Putih. Dia selalu percaya dirinya lebih penting daripada ayam-ayam lain kerana bulunya bersih.

“Aku ayam istimewa,” katanya kepada ayam-ayam lain.

Aku pernah mendengar dia bercakap. Jangan terkejut. Di kawasan kampung, semua makhluk ada cerita tersendiri. Cuma manusia terlalu sibuk bercakap tentang diri sendiri sehingga mereka tidak mendengar makhluk lain.

Sang Putih suka duduk berhampiran reban.

“Aku menjaga telur-telur ini,” katanya.

“Kau menjaga atau kau memiliki?”

Aku memandangnya. Dia tidak menjawab. Mungkin soalan itu terlalu sukar untuk seekor ayam. Dan terlalu sukar juga untuk manusia.

Menjelang tengah hari, berita mula tersebar. Bukan melalui surat atau televisyen, tetapi melalui mulut. Aku sudah sedar: Mulut manusia adalah burung paling pantas di dunia. Ia boleh terbang lebih jauh daripada helang. Ia boleh membawa benda yang benar dan ia juga boleh membawa benda yang sudah berubah bentuk.

Di kedai kopi, orang mula bercakap. Di suraukas, orang mula bercakap. Di pasar pun, orang mula bercakap. Semua orang bercakap tentang rumah itu. Rumah yang selama ini dipuji. Rumah yang selama ini dijadikan contoh. Rumah yang selama ini disebut sebagai bukti bahawa keluarga besar masih boleh hidup bersama.

Aku melihat dari jauh. Lucu! Manusia suka membina patung, kemudian mereka marah apabila patung itu pecah.

Pada sebelah petang, Adam datang mencari aku. Dia duduk di tangga.

“Aku dengar orang bercakap,” katanya.

Aku mendekati dan dia mengusap kepalaku.

“Betulkah orang dewasa selalu tahu apa yang betul?” Adam bertanya.

Aku menutup mata. Soalan seorang kanak-kanak selalu lebih tajam daripada soalan orang dewasa. Ya, kerana kanak-kanak belum belajar bagaimana untuk menyembunyikan maksud.

Aku pernah melihat manusia dewasa menghabiskan masa sejam bercakap tanpa menjawab walau satu soalan mudah. Kanak-kanak pula hanya perlu ditanya sekali dan mereka akan menjawab dengan mudah.


[Lihat senarai buku Uthaya Sankar SB]


Pada sebelah malam itu, berlaku perkara yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Rumah-rumah mula bercakap. Bukan dalam bahasa manusia tetapi dalam bahasa kayu, bahasa angin, dan bahasa kenangan.

“Aku sudah terlalu lama membawa berat,” rumah pertama mengeluh.

“Aku menyimpan terlalu banyak tangisan,” rumah kedua berbisik.

“Aku menyimpan benda yang manusia sendiri takut melihat,” rumah ketiga berkata perlahan.

Segera aku berdiri di halaman. Bulu tengkuk naik. Aku sudah melihat banyak perkara pelik di sini. Aku pernah melihat burung berbual dengan bulan. Aku pernah melihat bayang manusia berjalan tanpa tuan. Tetapi mendengar rumah mengaku penat adalah sesuatu yang baharu.

“Kamu semua adalah rumah,” kataku. “Kenapa kamu tidak berhenti menyimpan?”

Rumah itu diam; lama. Kemudian rumah pertama menjawab: “Kerana manusia membina rumah untuk menyimpan.”

“Barang?”

“Kenangan.”

“Rahsia?” Aku bertanya lagi.

“Juga.”

Aku teringat kata-kata ibuku dahulu: “Jangan tinggal di tempat yang terlalu banyak pujian.”

Sewaktu kecil, aku fikir itu hanya kata-kata seekor kucing tua. Kini aku faham. Pujian yang terlalu banyak kadangkala bukan bunga, sebaliknya ia kain yang digunakan untuk menutup luka.

Pada keesokan hari, seorang lelaki tua muncul di halaman rumah. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Dia membawa tongkat. Bajunya sederhana, kakinya berlumpur, dan dia berjalan perlahan seperti seseorang yang tidak takut kepada masa.

Aku mendapat tahu, namanya Tok Ayah Musa. Dia melihat tiga rumah itu. Kemudian, dia memandang manusia yang berkumpul.

“Kenapa semua orang takut?”

Tiada siapa menjawab. Dia pula tersenyum.

“Musang yang menjaga reban akan marah apabila orang lain bertanya tentang ayam yang hilang.”

Semua mata memandang Tok Ayah Musa. Aku melihat Rahman. Wajahnya berubah. Sedikit tetapi cukup untk aku memahami perubahan yang berlaku.

“Dalam hikayat lama, raja yang baik bukan raja yang tidak pernah melakukan kesalahan.” Tok Ayah Musa duduk di tangga. “Raja yang baik ialah raja yang mampu membuka pintu istana apabila rakyat datang membawa kebenaran.”

Dia mengusap janggut.

“Tetapi manusia zaman sekarang pelik. Mereka lebih takut pintu terbuka daripada takut rumah terbakar,” katanya penuh sinis.

Pada waktu malam, aku meninggalkan halaman itu sebentar. Aku pergi ke tepi sungai. Air bergerak perlahan sambil melihat pantulan bulan pada permukaan air yang tenang.

Satu makhluk memandang aku dari permukaan air. Aku hampir tidak mengenalinya. Selama ini, aku fikir aku hanya pemerhati. Makhluk kecil yang melihat manusia membuat kesilapan.

Tetapi mungkin aku juga mempunyai kesalahan. Mungkin aku melihat terlalu lama, mendengar terlalu banyak, lalu tahu sesuatu yang tidak betul sedang berlaku.

Tetapi aku hanya mampu menunggu. Menunggu manusia menyelesaika sendiri masalah itu.

Mungkin ini juga satu bentuk kelemahan diriku. Umpama seekor kucing yang melihat tikus masuk ke dalam rumah tetapi tidak mengejar kerana terlalu malas. Atau penjaga yang diam ketika pintu terbuka.

Aku pulang semula ke rumah itu sebelum tengah malam. Namun, ketika aku sampai, aku melihat sesuatu yang membuatkan langkahku berhenti. Pintu stor belakang rumah ketiga terbuka. Selama ini, pintu itu sentiasa berkunci.

Di dalamnya gelap. Terlalu gelap. Tetapi dari dalam stor itu keluar satu bau yang aku kenal. Bau ketakutan. Dan pada kali ini, ia bukan bau ketakutan seorang manusia. Sebaliknya, bau ketakutan sebuah keluarga yang akhirnya sedar bahawa mereka tidak boleh lagi menyimpan semua bayang di dalam rumah.

Aku melangkah masuk. Di belakangku, bulan terus bersinar. Di hadapan, kegelapan menunggu. Dan aku tahu, cerita sebenar baru sahaja bermula. – Bersambung pada 7 Ogos 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 9-10 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog.)

30 Jul 2026

Analisis: Rawan: The Untold Story

Petikan awal cerpen “Rawan: The Untold Story” menampilkan sebuah narrative hook atau cangkuk naratif yang unik kerana ia tidak bermula dengan pengenalan watak secara konvensional atau konflik yang jelas. Sebaliknya, pengarang terus mencampakkan pembaca ke dalam sebuah ruang simulasi: Sebuah studio penggambaran yang menyerupai pentas politik.

Strategi pembukaan seperti ini berkesan kerana ia menimbulkan persoalan segera dalam fikiran pembaca: Adakah Rawan seorang ahli politik, seorang pelakon, atau sekadar watak dalam sebuah sandiwara yang lebih besar? Ketidakpastian ini menjadi daya tarikan utama yang menggerakkan pembacaan seterusnya.

Dalam buku The Art of Fiction: Notes on Craft for Young Writers (1984), John Gardner menekankan bahawa sebuah karya fiksyen yang berjaya perlu menghasilkan apa yang disebutnya sebagai fictional dream iaitu keadaan di mana pembaca segera memasuki dunia naratif dan terdorong untuk terus berada dalam dunia tersebut.

Petikan pembukaan cerpen ini mencapai kesan tersebut melalui gambaran visual yang kuat. Ayat “Lampu limpah menyala umpama mata Kaali Devi yang enggan berkelip” bukan sahaja mencipta imej yang dramatik, malah membawa unsur mitologi India-Hindu yang memberikan identiti budaya kepada suasana cerita.

Pembaca tidak diberikan ruang untuk menyesuaikan diri secara perlahan atau beransur-ansur. Sebaliknya, kita terus diseret ke tengah-tengah sebuah pentas yang penuh dengan cahaya, kamera, dan kepura-puraan.

Selain itu, pengarang menggunakan teknik ironi dan satira sebagai cangkuk naratif yang ampuh, mujarab, dan berkesan. Dalam buku Steering the Craft (1998), Ursula K. Le Guin menjelaskan bahawa pilihan bahasa dan nada merupakan elemen penting yang menentukan hubungan antara teks dan pembaca.

Dalam petikan awal cerpen “Rawan: The Untold Story”, nada sinis sudah kelihatan sejak mula apabila pengarah digambarkan sebagai individu yang “konon berjiwa auteur tetapi sebenarnya hanya gemar berlakon pandai di hadapan kru.” Ayat sebegini memberi petunjuk bahawa cerpen ini bukan sekadar kisah tentang industri filem, malah sebuah alegori terhadap dunia politik yang dipenuhi lakonan, manipulasi, dan ego.

Cangkuk naratif juga terhasil melalui penggunaan metafiksyen iaitu naratif yang sedar tentang sifatnya sebagai sebuah cerita. Pembaca diberitahu bahawa “jalan ceritanya tidak pernah benar-benar bermula” dan skrip sentiasa berubah mengikut kehendak pihak tertentu. Teknik ini mengingatkan pembaca bahawa mereka sedang menyaksikan sebuah karya yang sengaja mempermainkan sempadan antara realiti dan fiksyen.

Dalam buku Story: Substance, Structure, Style and the Principles of Screenwriting (1997), Robert McKee menjelaskan bahawa salah satu cara paling berkesan untuk mengekalkan perhatian pembaca atau penonton ialah dengan mewujudkan jurang antara apa yang kelihatan dengan apa yang sebenarnya berlaku. Dalam konteks cerpen ini, studio filem hanyalah lapisan permukaan, manakala “sandiwara kuasa politik” merupakan konflik sebenar yang menunggu untuk dibongkar.

Satu lagi kekuatan petikan ini ialah janji naratif (narrative promise) yang diberikan kepada pembaca. Tajuk “Rawan: The Untold Story” sendiri menjanjikan pendedahan terhadap suatu kisah yang belum pernah didengar. Tambahan pula, kenyataan bahawa plot biopik tersebut “tidak linear” membuka kemungkinan bahawa pembaca akan dibawa menelusuri pelbagai zaman, termasuk saat kemenangan politik, zaman kegemilangan, dan juga kemerosotan kuasa watak utama.

Teknik ini sejajar dengan pandangan James Scott Bell dalam bukunya Plot & Structure (2004) bahawa halaman awal sesebuah karya perlu mencetuskan “rasa ingin tahu yang belum terjawab” agar pembaca mempunyai sebab dan alasan untuk terus membuka halaman berikutnya.

Berdasarkan petikan awal cerpen “Rawan: The Untold Story”, terdapat beberapa kemungkinan perkembangan cerita. Pertama, Rawan mungkin akan mengalami perjalanan tragik seperti seorang wira klasik yang perlahan-lahan menyedari bahawa dirinya hanyalah pelakon dalam sebuah sistem politik yang lebih besar dan lebih licik daripadanya. (Bandingkan dengan cerpen “Dia, Sebuah Pentas dan Drama Paul Lathic” dalam buku CERPEN.)

Kedua, struktur naratif yang menggunakan analepsis dan prolepsis mungkin akan mendedahkan percanggahan antara imej awam Rawan sebagai penyelamat Rakyat dengan realiti di belakang tabir yang dipenuhi kompromi, pengkhianatan, dan perebutan kuasa.

Ketiga, unsur muzikal dan sinematik yang sengaja dibuat janggal berkemungkinan menjadi simbol bahawa politik moden telah berubah menjadi persembahan hiburan, di mana persepsi lebih penting daripada kebenaran.

Kekuatan petikan pembukaan cerpen “Rawan: The Untold Story” terletak pada keberanian pengarang mencampurkan satira politik, bahasa sinematik, metafiksyen, dan simbol budaya dalam satu ruang naratif yang kompleks.

Cangkuk naratif yang dibina tidak bergantung pada kejadian dramatik semata-mata, sebaliknya terletak pada rasa hairan dan ingin tahu pembaca: Apakah sebenarnya yang sedang berlaku, siapakah Rawan, dan mengapa seluruh kehidupannya dipersembahkan seperti sebuah filem yang skripnya sentiasa berubah?

Persoalan-persoalan inilah yang menjadi daya tarikan utama yang berpotensi memastikan pembaca meneruskan pembacaan hingga ke penghujung cerpen.

29 Jul 2026

Mengangkat Syiar Kod Suci Empayar

Langit di atas kota Aksara-9 retak. Cahaya biru keunguan memancar dari rekahan itu, berdenyut seperti nadi yang hampir putus. Di bawahnya, ribuan tubuh bergelimpangan. Bukan semuanya mati tetapi kebanyakannya sudah tidak lagi ada alasan untuk hidup.

Bau besi terbakar bercampur darah mengering menusuk rongga hidung. Gema letupan jauh masih bergulung seperti guruh yang tidak mahu reda. Di tengah-tengah segala kekacauan itu, Kharun berdiri dengan pedang plasma masih menyala. Tangan bergetar bukan kerana keletihan tetapi kerana kesedaran yang baru saja menetas dalam diri.

Suatu kesedaran yang datang terlalu lambat.

Dia memandang rakan-rakannya—sisa pasukan elit yang pernah digelar “Penjaga Kemurnian”—yang kini berlutut, terhuyung-hayang, atau sekadar diam membatu.

Mereka datang ke kota ini dengan misi yang jelas: Hapuskan semua yang dianggap “tidak sejajar dengan Kod Suci Empayar.” Mereka telah melakukan misi sama berkali-kali sebelum ini. Planet demi planet. Koloni demi koloni. Tiada soalan, tiada keraguan. Hanya perintah. Hanya kepatuhan.

Namun, pada kali ini, sesuatu telah pecah dan terbelah. Bukan hanya langit tetapi juga naratif yang selama ini membungkus realiti hidup mereka.

“Ini bukan pembebasan,” bisik Lyris; suaranya serak, mata memandang seorang kanak-kanak yang terbaring tidak bergerak di hadapan. “Ini adalah genosid.”

Perkataan itu—genosid—terasa asing, seolah-olah ia tidak pernah wujud dalam kamus mereka. Selama ini, istilah yang digunakan ialah “penyucian,” “penyelarasan,” dan “pemulihan keseimbangan kosmik”.

Bahasa sudah menjadi alat untuk menutup luka, untuk mengaburkan kebenaran. Dan kini, bahasa itu nampaknya runtuh bersama kota yang sedang terbakar ini.

Kharun teringat saat pertama kali dia direkrut, bertahun-tahun lalu, di Akademi Orakel Empayar. Mereka diajar bahawa Empayar adalah satu-satunya entiti yang memahami struktur sebenar realiti. Bahawa segala yang berada di luar doktrin adalah gangguan, kesilapan, dan anomali yang mesti diperbetulkan.

Mereka dibekalkan teks-teks kuno—yang kononnya diturunkan dari sumber trans-dimensi—yang menjelaskan tujuan agung hidup mereka: Membawa keseragaman kepada alam semesta yang kacau.

Tiada siapa pernah dibenarkan mempersoalkan asal-usul teks itu. Tiada siapa pernah melihat sumbernya. Tetapi kepercayaan tidak memerlukan bukti; ia hanya memerlukan pengulangan, ritual, dan ketakutan.

Dan ketakutan adalah mata wang utama Empayar.

“Perintah seterusnya?” tanya Varek, seorang lagi anggota pasukan; suaranya kosong, seolah-olah dia masih cuba berpaut pada struktur lama.

Kharun tidak menjawab. Sebaliknya, dia memandang ke arah menara pusat kota—struktur tinggi yang kini separuh runtuh—di mana arkib utama Aksara-9 disimpan.

Sebelum serangan dimulakan, mereka telah memintas beberapa isyarat aneh dari arkib itu. Ternyata terdapat data yang tidak sepadan dengan naratif Empayar. Data yang menyebut tentang “Projek Asal,” tentang manipulasi sejarah; tentang penciptaan doktrin sebagai alat kawalan sosial.

Pada masa itu, Kharun menganggap semuanya sebagai propaganda musuh semata-mata. Sekarang, dia tidak lagi pasti tentang pendirian dan pemahaman itu.

“Kita perlu ke sana,” katanya seraya menunjuk ke arah menara itu.

“Untuk apa?” Varek bertanya.

“Untuk mengetahui sama ada kita ini pembela kebenaran … atau sekadar algojo yang diperdaya pihak berkepentingan.”

Mereka bergerak melalui runtuhan. Setiap langkah terasa berat. Bukan kerana halangan fizikal tetapi kerana beban kesedaran yang semakin menekan. Di sepanjang jalan, mereka melihat kesan kerja tangan mereka sendiri—dinding yang hangus, tubuh yang terkulai, mata yang terbuka tetapi kosong.

Setiap imej adalah cermin yang memantulkan sesuatu yang selama ini mereka enggan lihat kerana terhijab oleh propaganda Empayar.

Di pintu masuk arkib, mereka menemui seorang wanita tua yang masih hidup. Dia duduk bersandar pada dinding. Darah mengalir dari dahi. Wanita tua itu memandang mereka tanpa rasa takut; hanya keletihan yang mendalam. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Nyanyian di Ladang

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

28 Jul 2026

Mengenal 22 Kepercayaan Lokal di Indonesia – Bahagian Tiga



[Baca Bahagian Dua] Selepas menyusuri Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan gugusan pulau di Nusa Tenggara, langkah kita diteruskan ke Sulawesi dan kepulauan-kepulauan kecil di timur Indonesia.

Di wilayah-wilayah ini, laut bukan sekadar pemisah antara daratan. Laut ialah jalan raya yang menghubungkan manusia, membawa cerita, bahasa, perdagangan, dan kepercayaan. Setiap pulau menyimpan ingatan tersendiri. Setiap kampung ada kisah yang diwariskan melalui suara orang tua. Setiap upacara adat menjadi semacam jambatan yang menghubungkan manusia hari ini dengan manusia yang menjejak tanah ini, lama dahulu.

Di Sulawesi Selatan, masyarakat Toraja memperlihatkan salah satu contoh paling dikenali tentang bagaimana kepercayaan adat membentuk seluruh pandangan hidup sebuah komuniti. Tradisi itu dikenali sebagai Aluk Todolo yang secara ringkas dapat difahami sebagai “jalan nenek moyang”.

Namun begitu, maknanya jauh lebih mendalam daripada terjemahan literal di atas. Aluk Todolo bukan sekadar himpunan upacara. Ia merujuk kepada cara memahami aturan kehidupan, hubungan manusia dengan alam, kedudukan keluarga, tanggungjawab sosial, dan perjalanan manusia selepas kematian.

Bagi masyarakat Toraja, kematian bukan noktah terakhir. Ia hanya satu tahap dalam perjalanan yang panjang. Pandangan ini menjelaskan mengapa upacara pengebumian dalam budaya Toraja sering dilaksanakan dengan penuh penghormatan dan melibatkan seluruh keluarga.

Setiap unsur dalam upacara tersebut mempunyai simbol dan makna tersendiri. Rumah adat tongkonan, ukiran kayu yang menghiasi dinding, pakaian tradisional, muzik, tarian, dan pelbagai aturan sosial semuanya menjadi bahasa budaya yang menyampaikan cerita tentang asal usul, maruah, dan hubungan kekeluargaan.

Bagi orang luar, sesetengah amalan dalam Aluk Todolo mungkin kelihatan asing. Namun, usaha memahami sesuatu budaya memerlukan kita melihat dari kaca mata masyarakat yang mengamalkannya. Seperti sebuah buku lama yang ditulis dalam bahasa yang tidak kita fahami, kita tidak boleh menilai isinya hanya berdasarkan bentuk kulit buku. Kita perlu belajar membaca simbol-simbol yang terkandung di dalamnya.

Demikianlah yang kita berdua lakukan. Maka, Aluk Todolo mengajar kita bahawa kehidupan manusia tidak terpisah antara kelahiran dan kematian, antara masa kini dan masa lalu, antara individu dan masyarakat.

Bergerak ke Kabupaten Poso di Sulawesi Tengah, kita menemukan Lamoa, satu tradisi kepercayaan masyarakat tempatan yang berkait rapat dengan hubungan manusia, alam, dan dunia spiritual. Seperti kebanyakan kepercayaan adat lain di Nusantara, Lamoa lahir daripada pengalaman masyarakat yang hidup dekat dengan alam. Gunung, hutan, sungai, dan tanah pertanian bukan sekadar ruang fizikal, malah sebahagian daripada alam kehidupan yang mempunyai nilai dan makna.

Dalam masyarakat yang bergantung kepada hasil bumi, hubungan dengan alam sentiasa menjadi perkara utama. Musim hujan dan kemarau, kesuburan tanah, keselamatan keluarga, dan keharmonian kampung, semuanya berkait antara satu sama lain. Oleh sebab itu, kita faham bahawa adat bukan sekadar peraturan sosial.

Adat menjadi panduan untuk memastikan manusia tidak bertindak melampaui batas. Pada zaman ketika pembangunan sering mengukur kemajuan melalui jumlah kawasan yang berjaya diteroka, pandangan seperti Lamoa mengingatkan hakikat tidak semua yang belum disentuh manusia itu perlu diubah.

Di kawasan Minahasa, Sulawesi Utara, terdapat pula Laroma, satu warisan kepercayaan adat yang mencerminkan cara masyarakat tempatan memahami hubungan antara manusia dengan kuasa yang lebih besar daripada dirinya. Seperti tradisi lain di Nusantara, Laroma tidak boleh dipisahkan daripada sejarah komuniti yang membentuknya. Kepercayaan, adat, bahasa, dan kesenian berkembang bersama-sama sehingga menjadi satu identiti unik dan tersendiri.

Apabila membicarakan kepercayaan adat, kita sering terperangkap dalam usaha mencari perbezaan. Kita bertanya apakah ritual mereka, apakah simbol mereka, apakah nama Tuhan atau roh yang mereka kenali. Soalan-soalan itu memang penting, tetapi kita berdua sedar, ada satu lagi persoalan yang lebih mendasar: Apakah nilai yang cuba dipelihara oleh manusia melalui semua itu? Jika diperhatikan dengan teliti, banyak tradisi adat sebenarnya berkongsi satu cita-cita yang sama iaitu keinginan untuk hidup dalam keseimbangan.

Di Kabupaten Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan, masyarakat Tolottang terus mempertahankan warisan kepercayaan leluhur mereka. Kewujudan Tolottang memperlihatkan satu hakikat penting tentang masyarakat Nusantara iaitu identiti seseorang tidak semestinya hanya terdiri daripada satu lapisan. Seseorang boleh menjadi sebahagian daripada negara moden, hidup dalam masyarakat yang pelbagai, dan pada masa sama mengekalkan hubungan dengan warisan nenek moyang.

Kita di Malaysia sering mendengar tentang kepelbagaian sebagai sesuatu yang perlu diraikan. Namun, meraikan kepelbagaian bukan hanya dengan memakai pakaian tradisional ketika pesta kebudayaan atau merakam foto di hadapan persembahan seni. Kepelbagaian yang sebenar bermula apabila kita bersedia untuk mendengar cerita yang berbeza daripada cerita kita sendiri. Tolottang mengajar kita bahawa sejarah manusia tidak bergerak dalam satu garis lurus. Sebaliknya, ia terbina daripada pelbagai cabang yang saling bersilang.


[Lihat buku-buku Uthaya Sankar SB]


Dari Sulawesi Selatan, kita berdua bergerak ke utara menuju Kepulauan Talaud. Di Pulau Salibabu, Kabupaten Talaud, terdapat Adat Musi, sebuah warisan budaya yang memperlihatkan hubungan rapat masyarakat kepulauan dengan laut dan alam sekitar.

Hasil penelitian dan pergaulan, kita sedar bahawa bagi masyarakat yang hidup dikelilingi lautan, laut bukan sekadar sumber makanan atau laluan perjalanan. Laut ialah sebahagian daripada identiti. Ia menentukan cara mereka bekerja, membina hubungan sosial, serta memahami kehidupan.

Dalam komuniti kepulauan, pengetahuan tentang alam sering menjadi bentuk kebijaksanaan yang sangat bernilai. Membaca arah angin, memahami perubahan cuaca, mengenal pergerakan ombak, dan mengetahui musim tertentu merupakan ilmu yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Pengetahuan itu mungkin tidak ditulis dalam buku sains, sebaliknya dipelajari melalui pengalaman hidup selama berabad-abad.

Di Kepulauan Sangihe, kita berdua berpeluang mengenali Masade, satu lagi tradisi yang memperlihatkan bagaimana manusia membina hubungan dengan alam dan masyarakat sekeliling. Kepulauan kecil seperti Sangihe ternyata mengajar manusia tentang kebergantungan.

Di tempat yang sumbernya terhad, seseorang tidak boleh hidup sendirian. Kerjasama menjadi keperluan, bukan sekadar pilihan. Oleh itu, banyak adat masyarakat kepulauan memberikan perhatian kepada hubungan kekeluargaan, saling membantu, dan menjaga keharmonian komuniti.

Apabila kita tiba di Pulau Seram, Maluku, kita bertemu pula dengan Naurus. Nama ini mungkin kurang dikenali berbanding beberapa tradisi adat lain, namun nilainya sama penting dalam memahami kepelbagaian budaya di Indonesia. Naurus memperlihatkan bagaimana masyarakat tempatan membina pemahaman tentang dunia melalui pengalaman mereka sendiri. Alam sekitar, leluhur, dan kehidupan bermasyarakat saling berkait dalam satu jaringan yang tidak mudah dipisahkan.

Pulau Seram sendiri mempunyai sejarah budaya yang panjang. Hutan yang luas, gunung, sungai, dan kawasan pesisir membentuk cara masyarakat tempatan melihat dunia. Dalam konteks seperti ini, kepercayaan adat bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba. Ia lahir daripada hubungan manusia dengan tempat yang mereka diami. Sebuah kepercayaan sentiasa membawa jejak tanah kelahirannya. Kita berdua terpesona mendalaminya bersama masyarakat setempat.

Seterusnya, di Kepulauan Biak, Papua, kita mengenali Wor iaitu tradisi yang sangat kaya dengan unsur lisan, muzik, dan persembahan budaya. Dalam Wor, kata-kata mempunyai kuasa. Nyanyian dan ungkapan lisan bukan sekadar hiburan. Ia menjadi alat untuk menyimpan sejarah, menyampaikan nasihat, dan mengukuhkan hubungan sosial. Kita sedia akui, masyarakat yang mempunyai tradisi lisan sebenarnya memiliki perpustakaan yang berbeza rupa bentuknya. Rak-rak tidak diperbuat daripada kayu, sebaliknya tersimpan dalam ingatan manusia.

Wor juga mengingatkan kita bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi. Bahasa ialah tempat sesuatu masyarakat menyimpan pandangan hidup. Apabila sesuatu bahasa hilang, bukan hanya perkataan yang hilang. Bersama-sama perkataan itu mungkin lenyap juga cara melihat dunia, cara memahami hubungan manusia, dan cara memberikan makna kepada pengalaman hidup.

Setelah menelusuri Aluk Todolo, Lamoa, Laroma, Tolottang, Adat Musi, Masade, Naurus, dan Wor, kita mula melihat satu pola yang berulang. Walaupun masyarakat ini tinggal di wilayah berjauhan, walaupun bahasa dan sejarah mereka berbeza, terdapat beberapa benang halus yang menghubungkan mereka.

Mereka menghormati alam. Mereka mengenang leluhur. Mereka menjaga hubungan antara manusia. Mereka memahami bahawa kehidupan bukan milik seseorang individu secara mutlak, sebaliknya satu amanah yang dikongsi bersama.

Barangkali inilah sebabnya kepercayaan adat masih mempunyai tempat dalam dunia hari ini. Ia bukan kerana manusia moden ingin kembali hidup seperti zaman lampau. Sebaliknya, manusia moden mungkin sedang mencari semula beberapa perkara yang pernah hilang dalam perjalanan menuju kemajuan. Misalnya, hubungan dengan alam, rasa kebersamaan, penghormatan terhadap sejarah, dan kesedaran bahawa manusia hanyalah satu bahagian kecil dalam jaringan kehidupan yang jauh lebih besar.

Dua puluh dua kepercayaan adat yang tersebar di seluruh Indonesia bukan sekadar catatan tentang masa lalu. Ia ialah cermin yang memantulkan persoalan manusia sepanjang zaman. Dari mana kita datang? Bagaimana kita harus hidup? Apakah hubungan kita dengan alam dan generasi yang akan datang?

Di akhir pengembaraan ini, kita berdua bersetuju bahawa selagi manusia masih mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu, selagi itulah warisan dan adat akan terus mempunyai suara. Tamat

[Bahan ini ditulis pada 15 Julai 2026 hasil pembacaan pelbagai sumber berkaitan topik yang diperkatakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

27 Jul 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 7)



[Sambungan daripada Bahagian Enam]

Sungai tidak pernah lupa. Manusia hanya menyangka ia melupakan semuanya kerana air sungai sentiasa bergerak.

Sesungguhnya, pergerakan bukan penghapusan. Ia hanyalah cara licik untuk sesuatu yang purba menyembunyikan diri daripada pandangan umum.

Sungai Klang sedang mengalir seperti biasa pada malam ini. Keruh, berat, membawa bau minyak, plastik, tanah yang terhakis, dan sejarah yang tidak pernah ditulis dalam buku teks sekolah. Namun, bagi kami, sungai ini bukan air. Ia adalah sebuah arkib sejarah. Arkib kenangan.

Aku bertenggek di dahan rendah pokok bakau yang condong ke arah air. Di belakangku, gagak-gagak yang menganggotai Majlis Gagak tidak bersuara. Tiada sebarang arahan. Tiada apa-apa perintah. Kerana sesuatu dalam diri kami sudah berubah.

Sejak insiden pada malam kelmarin di Kuil Sri Navaneetha Krishnar, kaka smriti tidak lagi sekadar memanggil. Ia sudah mula menjawab.

Pada permukaan air sungai yang keruh, aku melihat sesuatu yang tidak sepatutnya ada. Bukan bayang. Bukan pantulan. Sebaliknya, wajah Rajendran Arunachalam.

Kemudian, wajah-wajah lain. Seorang penembak muda yang pernah muntah selepas operasi menembak gagak pada Mei 2026. Seorang lelaki yang tidak pernah pulang ke rumah sejak hari itu. Seorang lagi yang namanya tidak pernah muncul dalam laporan rasmi.

Semua wajah itu terapung-apung seperti daun reput yang enggan tenggelam.

“Ini bukan sungai,” Meenakshi bersuara rendah dari belakang. “Ini lapisan.”

Aku mengangguk perlahan. Ya. Lapisan memori. Lapisan ingatan yang manusia tidak pernah belajar untuk baca dan fahami.

Dalam kajian sains manusia, terdapat konsep yang mereka panggil collective memory iaitu memori sosial yang dikongsi melalui budaya, cerita, dan simbol.

Namun, kaka smriti bukan setakat itu. Ia bukan budaya. Ia bukan sejarah. Ia bukan cerita. Sebaliknya, ia lebih hampir kepada sesuatu yang pernah disentuh oleh beberapa ahli neurosains dalam kajian epigenetik: Bagaimana trauma boleh meninggalkan kesan biologi yang diwarisi.

Walau bagaimanapun, secara perbandingan, semua hasil penemuan sains manusia masih terlalu kecil. Kaka smriti lebih daripada semua itu kerana ia tidak hanya diwarisi. Ia berulang.

Aku menutup mata. Dan sungai mula bercakap. Bukan dengan suara tetapi dengan perasaan. Rasa sebagaimana dalam tradisi India. Satu sensasi yang tidak dapat diterjemahkan dalam bahasa manusia.

Aku mampu melihat semula peristiwa pada Mei 2026. Aku tidak melihat gagak. Aku melihat proses. Satu sistem yang sedang mencari keseimbangan semula jadi. Manakala manusia berada di bahagian tengah.

Dalam sistem keseimbangan itu, Rajendran bukan individu. Dia adalah nod, titik persilangan, titik pertemuan sepertimana semua penembak lain yang terlibat dalam operasi menembak gagak di Bandaraya Diraja Klang, empat tahun lalu.

Aku dapat melihat—merasa—bahawa setiap nod mempunyai fungsi tersendiri. Fungsinya bukan untuk membunuh tetapi untuk mencetuskan sesuatu.

Aku membuka mata. Air sungai kini lebih gelap jika dibandingkan dengan kegelapan malam. Seolah-olah ia sedang menyerap kesemua cahaya bulan.

“Ini bukan pembalasan,” kata Arul dari sisi kanan. “Bukan juga keadilan.”

Aku tidak menoleh ke arahnya. Aku menghela nafas.

“Tidak,” aku menjelaskan. “Ini sebuah pengulangan.”

Sementara itu, Dr. Ananthan Subramaniam tidak dapat tidur dengan tenang. Makmalnya di Chennai kini menjadi tempat yang dia sendiri takutkan. Dia tidak faham mengapa segala data yang dia kumpul selama ini tidak lagi patuh kepada hipotesis.

Ia sudah mula berani menjawab balik. Umpama ada pemikiran sendiri. Setiap graf ujian elektroensefalogram (EEG) gagak mati menunjukkan corak yang sama. Seolah-olah ada suatu kuasa ghaib sedang menulis semula dirinya melalui eksperimen yang dikendalikan di makmal.

Pada malam tadi, skrin komputer menunjukkan bukti kehadiran unsur anomali. Bukan gangguan, bukan ralat, tetapi satu bentuk struktur. Corak yang menyerupai suara. Dan suara itu, walaupun tidak berbunyi, membawa satu perkataan yang jelas: Kaka.

Ananthan terduduk di kerusi.

“Ini tidak mungkin,” bisiknya.

Tetapi dalam sains, frasa “tidak mungkin” hanyalah bersifat sementara kerana sekadar membawa makna “belum difahami”.

(bersambung pada 3 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]