Vishvamitra
Vishvamitra (IAST: Viśvāmitra) ialah salah seorang resi yang paling masyhur dalam tradisi Hindu, setanding dengan resi Vasistha. Nama beliau bukan sahaja muncul dalam Veda, malah disebut juga dalam Itihasa dan Purana. Beliau merupakan resi utama bagi keseluruhan Mandala Ketiga dalam Rigveda. Walaupun demikian, hanya 501 rk (ayat) daripada Mandala tersebut dikaitkan secara langsung dengannya; selebihnya dikaitkan dengan keturunannya.
Lagenda
[sunting | sunting sumber]Salah satu episod terkenal yang dikaitkan dengan Vishvamitra ialah doanya kepada sungai-sungai Vipaṭ dan Sutudri (yang kini dikenali sebagai Sungai Beas dan Sutlej di negeri Punjab), agar airnya membuka jalan untuk beliau menyeberangi sungai itu dengan selamat demi melarikan diri daripada sekumpulan perompak. Doa ini dikenali sebagai Nadisukta (Rigveda 3.33).
Beliau juga diiktiraf sebagai seorang resi agung dalam pelbagai teks kesusasteraan Veda seperti:
- Aitareya Aranyaka (2.2.1)
- Taittiriya Samhita (2.2.1.2)
- Kausitaki Brahmana (15.1)
- Pancavimsa Brahmana (14.3.12)
Dalam satu kisah yang tercatat dalam Rigveda (1.24), Vishvamitra muncul sebagai penyelamat kepada seorang pemuda bernama Sunassepha yang dijadikan korban dalam satu upacara pengorbanan. Visvamitra bukan sahaja menyelamatkannya, bahkan menerima pemuda itu sebagai anak angkat.
Asal-usul & Keturunan
[sunting | sunting sumber]Menurut Nirukta (2.24) dan Pancavimsa Brahmana (21.12.2), Vishvamitra pada asalnya adalah seorang raja.
Dalam Itihasa dan Purana, beliau dikatakan sebagai putera kepada Raja Gadhi daripada keturunan Candravamsa, dan nama asalnya ialah Visvaratha. Beliau mempunyai beberapa orang isteri dan anak-anak.
Berbeza dengan kebanyakan resi lain, Vishvamitra tidak dilahirkan sebagai seorang Brahmin. Asalnya beliau seorang putera daripada golongan Kshatriya (pahlawan), yang kemudiannya menjadi raja yang berkuasa. Pada peringkat awal kehidupannya, beliau memerintah dengan gagah dan menunjukkan kehebatan dalam ketenteraan serta kebolehan kepimpinan yang tinggi.
Perjalanan rohani Vishvamitra daripada seorang pahlawan kepada seorang resi merupakan salah satu kisah transformasi rohani yang paling luar biasa dalam tradisi Hindu. Dorongan mendalam untuk mencapai kebijaksanaan rohani tertinggi membuatkan beliau meninggalkan takhta dan segala kenikmatan dunia, lalu memulakan kehidupan tapa dan semadi yang amat berat.
Kisah hidupnya diceritakan secara panjang lebar dalam Ramayana (Balakanda, Bab 51–65), yang memuatkan peristiwa penting seperti:
- Usahanya mencipta syurga untuk Raja Trisanku
- Perselisihannya dengan resi Vasistha[1]
- Usahanya dalam Tapa (disiplin rohani) dan akhirnya diangkat sebagai Brahmaresi, gelaran tertinggi bagi seorang orang alim.
Vishvamitra juga tergolong dalam kalangan Saptaresi (Tujuh Resi Agung) bagi zaman sekarang (manvantara ini).
Sumbangan
[sunting | sunting sumber]Sumbangan beliau yang paling besar ialah penemuan dan pendedahan Gayathri Mantra,[2] suatu doa suci yang kini menjadi warisan rohani sejagat demi kebaikan umat manusia.