Rais Yatim
Rais Yatim | |
|---|---|
| Yang di-Pertua Dewan Negara | |
| Dalam jawatan 2 September 2020 – 16 Jun 2023 | |
| Raja | Al-Sultan Abdullah |
| Perdana Menteri | Dato Seri Anwar Ibrahim |
| Didahului oleh | Vigneswaran Sanasee |
| Digantikan oleh | Wan Junaidi Tuanku Jaafar |
| Ahli Dewan Negara | |
| Lantikan Yang di-Pertuan Agong | |
| Dalam jawatan 16 Jun 2020 – 16 Jun 2023 | |
| Raja | Al-Sultan Abdullah |
| Perdana Menteri | Dato Seri Anwar Ibrahim |
| Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Sembilan | |
| Dalam jawatan 18 September 2018 – 7 September 2020 | |
| Digantikan oleh | Eddin Syazlee Shith |
| Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan | |
| Dalam jawatan 2009–2013 | |
| Didahului oleh | Ahmad Shabery Cheek |
| Digantikan oleh | Ahmad Shabery Cheek |
| Ahli Parlimen Malaysia bagi Jelebu | |
| Dalam jawatan 1999–2013 | |
| Didahului oleh | Yunus Rahmat |
| Digantikan oleh | Zainudin Ismail |
| Dalam jawatan 1982–1990 | |
| Didahului oleh | Abdul Samad Idris |
| Digantikan oleh | Ibrahim Sareh |
| Dalam jawatan 1974–1978 | |
| Didahului oleh | Perlembagaan baharu |
| Digantikan oleh | Abdul Samad Idris |
| Menteri Besar Negeri Sembilan | |
| Dalam jawatan 12 Julai 1978 – 29 April 1982 | |
| Didahului oleh | Mansor bin Othman |
| Digantikan oleh | Isa Samad |
| Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan bagi Pertang | |
| Dalam jawatan 1978–1982 | |
| Didahului oleh | Aminuddin Abdul Manap |
| Digantikan oleh | Abdul Kadir Kassim |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | Rais bin Yatim 15 April 1942 Kuala Klawang, Negeri Sembilan, Tanah Melayu (kini Malaysia) |
| Parti politik | |
| Pasangan | Puan Sri Masnah Muhamat |
| Anak |
|
| Kediaman | Ampang, Selangor |
| Pekerjaan | Ahli Politik |
| Bidang pengkhususan | Peguam |
| Artikel ini adalah sebahagian daripada siri pada |
| Politik Malaysia |
|---|
|
|
| Gerbang Malaysia |
Rais bin Yatim (lahir 15 April 1942) merupakan ahli politik Malaysia yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 2 September 2020 lalu.[2] Sebelum itu, beliau ialah menteri di pelbagai kerajaan persekutuan dari 1974 hingga 2013 dan Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978-1982. Beliau memegang kerusi Jelebu di Parlimen Malaysia sehingga 2013.
Beliau mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan merupakan antara tiga tokoh veteran yang kekal relevan serta menjadi rujukan banyak pihak iaitu Rais, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mahathir Mohamad. Beliau merupakan tokoh yang dihormati dan mencipta rekod sebagai satu-satunya menteri yang berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri sejak tahun 1974. Rais juga merupakan antara Menteri Besar termuda iaitu berusia 36 tahun ketika memimpin Negeri Sembilan.
Memulakan langkah politik, beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan muncul antara pemimpin yang penuh berkarismatik. Dalam politik, Rais menganggap Dato’ Seri Harun Idris sebagai mentor dan Tun Razak pula merupakan Perdana Menteri yang banyak membuka ruang untuk beliau menapak dalam politik. Rais menjadi Timbalan Presiden parti Semangat 46 (1987-1996) susulan pertembungan di antara Team A dan Team B dalam UMNO dan kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Penasihat BERSATU Negeri Sembilan.
Pertembungan Team A dan Team B dalam UMNO itu dianggap sebagai ‘fight of the Titans’ sehingga membawa kepada terjadinya pengharaman UMNO dan tertubuhnya Parti Semangat 46. Selepas kekalahan tipis team B, Rais dan Tengku Razaleigh memilih untuk meletak jawatan Menteri pada 29 April 1987. Keputusan Rais meletak jawatan itu mendapat ulasan daripada Dr. Mahathir. Beliau dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata: “Saya memahami dan menghargai keputusan peletakan jawatan yang dibuat oleh Rais Yatim. Tidak ada yang berani mengeluarkan pendapat seperti beliau. Dukacita kerana sokongan Rais tidak diberikan kepada saya,”.
Rais juga diingati dengan kenyataan “membakar jambatan” tetapi beliau menjelaskan Team B bukan menentang UMNO, sebaliknya hendak memulihkan UMNO kerana, UMNO bukan milik individu. Bahkan Rais menjelaskan kemudiannya mengenai kenyataan itu dengan rangkap pantun:
Pokok lada tepi tempayan,
Kalau dibakar menjadi abu,
Apa ada pada jambatan,
Kalau terbakar binalah yang baru.
Dalam sejarah politik tanah air, Rais merupakan satu-satunya Menteri yang menjawat Jawatan Menteri Luar sebanyak dua kali. Kepercayaan yang diberikan Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi itu merupakan manifestasi kepada kebolehan serta ketokohan Rais khususnya dalam menterjemahkan dasar-dasar luar Malaysia di samping kepakarannya dalam sesi rundingan.
Beliau juga merupakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan (bertaraf Menteri) dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 2013 hingga 2018.
Rais juga merupakan sosok yang dianggap sebagai tokoh dalam jurusan perundangan dan perlembagaan. Beliau kerap menjadi rujukan dalam isu-isu perundangan dan perlembagaan, memandangkan jurusan undang-undang merupakan sebahagian daripada kepakaran Rais. Malah, tesis Ph.D beliau yang bertajuk Rule Of Law and Executive Supremacy in Malaysia kekal menjadi rujukan akademik sehingga kini.
Tersohor sebagai budayawan, kecintaan Rais terhadap seni dan budaya diakui semua pihak melalui dasar, tindakan serta kenyataannya yang konsisten sejak dulu hingga sekarang. Beliau merupakan sebahagian kecil tokoh yang giat mempertahankan seni sebagai warisan dan ketamadunan bangsa, dengan terbaharu pada 12 April 2021 lalu, dijayakan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya yang bersekali dengan pelancaran buku Budi Asas Tamadun, disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam lapangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula, Rais bertanggungjawab mengasaskan Pertubuhan Anti Dadah Malaysia (PEMADAM) dan menjadi Presiden dari 1976 hingga 1987. Beliau juga merupakan Presiden Persekutuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa (IFNGO) dari tahun 1980 hingga 1987. Rais turut bertanggungjawab mengasas dan mengepalai Badan Kebajikan dan Pelajaran Jelebu (1995-2013) dan sekarang memimpin Yayasan BUDI selaku Pengasas dan Pengerusi sejak 2014. Yayasan BUDI ini diwujudkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik, di samping memperjuangkan seni dan budaya.
Sepanjang penglibatannya dalam gerakan siasah dan perjuangan memartabatkan budaya, banyak anugerah diterima Rais antaranya Anugerah Tokoh Buku Negara 2010. Anugerah ini sebagai menghargai jasa beliau dalam bidang penulisan dan penerbitan buku. Pada 2016, Rais menerima Anugerah Ph.D Kehormat daripada Universitas Andalas, Padang, Indonesia dalam bidang hukum dan kemasyarakatan. Setahun selepas itu pula, Rais menerima Anugerah Ph.D Kehormat daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang warisan. Beliau juga turut menerima Anugerah Ph.D Kehormat dari dua buah universiti lagi iaitu Universiti Multimedia Malaysia (2012) dan Universiti Istanbul (2015).
Kehidupan Awal
Latar Belakang dan Keluarga
Beliau dilahirkan di Jelebu, Negeri Sembilan daripada pasangan yang berasal dari Minangkabau. Ayahanda beliau ialah Mohammad Yatim (juga dikenali sebagai Jatin bin Tahir) yang memegang gelaran Pandeka Takue, manakala ibunya bernama Siandam.[3] Bapanya merupakan seorang pedagang yang berasal dari Palupuh, Agam, Sumatera Barat.[4] Pada sekitar tahun 1920-an, bapanya telah berhijrah ke Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Gagu. Ibunya pula berasal dari Kampung Sipisang, Palupuh, Agam, dan telah merantau ke Sungai Serai, Kampung Katub, Lenggeng, dan akhirnya menetap di Jelebu ketika usia belasan tahun.
Rais merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik. Beliau mempunyai tiga orang kekanda yang lebih tua iaitu:
- Naam (lahir 1927)
- Suri (lahir 1932)
- Atan (lahir 1934)
Ibu beliau telah meninggal dunia pada 31 Januari 1954 akibat serangan demam panas yang mengejut ketika Rais berumur 11 tahun 9 bulan (hampir memasuki usia 12 tahun), manakala adik-beradiknya yang lain sudah menjangkau usia dewasa (masing-masing berumur 27, 22, dan 20 tahun). Bapanya pula meninggal dunia 32 tahun kemudian pada 20 Mei 1986 ketika berusia 82 tahun, iaitu sewaktu Rais sedang berkhidmat sebagai Menteri Penerangan. Sepanjang fasa kanak-kanak dan remajanya, Rais banyak bergaul rapat dengan komuniti Cina sehingga membolehkan beliau menguasai dialek Kantonis dengan fasih.
Pendidikan Awal dan Pengalaman Perguruan
Garis masa pendidikan awal dan penglibatan beliau dalam bidang perguruan adalah seperti berikut:
| Tempoh / Tarikh | Tahap Pendidikan / Kerjaya | Institusi | Perincian Peristiwa |
|---|---|---|---|
| Zaman Persekolahan | Pendidikan Rendah & Menengah | Sekolah Melayu Triang, Sekolah Melayu Gagu & Government English School (GES) Jelebu | Memulakan Darjah I dan II di Sekolah Melayu Triang (kini SK Triang) sebelum ke Sekolah Melayu Gagu. Seterusnya terpilih masuk ke kelas *Special Malay Class* (SMC) aliran Inggeris di GES Jelebu, Kuala Klawang. Di sini, minat membaca dan bakat menulisnya dipupuk menerusi pendedahan karya Shakespeare seperti *King Henry V, Hamlet, Midsummer Night Dream*, dan *Romeo and Juliet*. |
| Pasca-Senior Cambridge | Guru Sementara | Sekolah Kebangsaan Astana Raja, Rembau | Berkhidmat sebagai guru sementara selepas lulus Sijil Persekolahan Senior Cambridge (CSC). |
| 1963 – 1965 | Guru Pelatih | Maktab Perguruan Bahasa (LI) | Mengikuti latihan perguruan selama dua tahun. Beliau aktif menghasilkan pelbagai rencana yang diterbitkan dalam *Utusan Zaman, Dewan Masharakat, Mastika*, dan *Dewan Bahasa*. |
| 1965 – 1966 | Pengajar Bahasa Melayu (Luar Negara) | Universiti Northern Illinois DeKalb (Chicago) & Hilo (Hawai), AS | Dihantar ke Amerika Syarikat bersama beberapa guru pelatih LI untuk mengajar bahasa Melayu kepada sukarelawan *American Peace Corps*. Beliau bertindak sebagai *Language Co-Ordinator* semasa berada di Hilo. |
| 1966 – 1967 | Guru Menengah | Sekolah Menengah Undang Jelebu & Sekolah Menengah Bandar Tinggi | Mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, dan Lukisan sekembalinya dari Amerika Syarikat. |
Pengajian Tinggi dalam Bidang Undang-Undang
Sewaktu bertugas sebagai pendidik di Sekolah Menengah Bandar Tinggi (SMBT), Rais mendaftar di Stamford College sebelum berjaya melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Singapura dalam jurusan Undang-Undang. Semasa di universiti, beliau merupakan rakan kuliah kepada beberapa tokoh terkenal seperti Ramachandran Naidu (bekas jurubahasa mahkamah di Kuala Lumpur), Sulaiman Abdullah (peguam terkemuka), dan Dr. Chandra Muzafar (bekas Naib Presiden PKR).
Beliau sangat aktif dalam aktiviti debat dan pidato di universiti, malah sering bersaing dengan Chandra Muzafar. Rais pernah merangkul anugerah Beasley Shield bagi kategori pidato umum, manakala Chandra memenangi pertandingan debat.
Pada tahun 1973, beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang LL.B (Hons.) dengan pencapaian cemerlang gred A bagi kertas Comparative Law yang mengkaji perbandingan antara Adat Perpatih dan Common Law. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Undang-Undang (LL.M) di universiti yang sama. Sepanjang tempoh pengajian tersebut, beliau turut bekerja sebagai penterjemah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1971 dan menjadi pensyarah sambilan bagi subjek Undang-Undang Perdagangan di Institut Teknologi Mara (kini UiTM).
Kerjaya Perundangan
Rais memulakan amalan guamannya sebagai peguam dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1973. Pada tahun yang sama, beliau mengasaskan firma guaman Ram Rais & Yap. Bidang amalan guamannya berkembang ke peringkat antarabangsa apabila beliau diterima sebagai peguam di Singapura pada tahun 1998.
Kecintaan beliau terhadap bidang akademik perundangan diteruskan sehingga beliau berjaya memperolehi ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang undang-undang daripada King’s College University of London pada tahun 1994. Tesis kedoktoran beliau yang bertajuk Rule Of Law and Executive Supremacy in Malaysia mengupas secara mendalam tentang doktrin kedaulatan undang-undang.
Kehidupan Peribadi
Perkahwinan
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Masnah Rais pada 14 Jun 1975. Hasil daripada perkongsian hidup ini, pasangan tersebut dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu:
- Malini Rais
- Dino Rais
- Danni Rais
- Ronni Rais
Selain daripada kehidupan berkeluarga, beliau juga aktif sebagai seorang penulis yang produktif. Hasil penulisan beliau merangkumi pelbagai kupasan mendalam mengenai bidang perundangan, senario politik, serta isu-isu kemasyarakatan. Di samping itu, beliau turut mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti rekreasi seperti mengembara, mendalami seni budaya, dan menceburi bidang fotografi.
Minat dalam Fotografi dan Seni Lukis
Bakat seni dan minat mendalam beliau dalam bidang fotografi serta seni visual dapat dilihat melalui kronologi pemilikan koleksi peranti dan pencapaian seni berikut:
| Tahun / Tempoh | Koleksi Kamera & Hasil Seni | Kos / Penilaian | Perincian & Catatan Peristiwa |
|---|---|---|---|
| 1956 | Kamera Kodak II | - | Kamera pertama yang dimiliki beliau. Walau bagaimanapun, kualiti imej yang dihasilkan kurang memuaskan hati beliau kerana saiz negatif yang kecil dan gambar yang terhasil agak kabur. |
| Pasca-1956 | Kamera Agfa Clack | RM28 | Kamera buatan Jerman yang mempunyai saiz negatif yang besar. Beliau membelinya secara pesanan pos (*parcel post*) melalui syarikat Hagameyer yang terletak di Kuala Lumpur. |
| 1965 | Kamera Minolta HR-7 *Twin Lens* | RM120 | Merupakan satu-satunya kamera jenis 35 mm yang dikategorikan sebagai sangat canggih dan moden pada zaman tersebut. |
| 1956 – Kini | Koleksi Peranti Fotografi | Melebihi 100 buah kamera | Beliau berjaya mengumpulkan pelbagai variasi jenis kamera sebagai koleksi peribadi yang kini disimpan rapi di kediaman beliau di Ampang Jaya. |
| Zaman Pengajian | Bakat Seni Lukis & Penghasilan Mural | Gred A (Peperiksaan HSC) | Beliau memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang lukisan sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan *Higher School Certificate* (HSC). Beliau juga pernah menghasilkan sebuah karya mural bersaiz besar untuk Dunearn Road Hostel di Universiti Singapura, dan hasil seni tersebut masih terpelihara serta dipamerkan di Dewan Besar Shears Hall, Kent Ridge. |
Politik
Penglibatan Awal Politik
Jejak langkah beliau dalam arena politik tanah air bermula sejak tahun 1962 melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sewaktu berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Astana Raja, Rembau. Beliau telah didaftarkan sebagai ahli dengan nombor keahlian rasmi 05186.
Beliau membuat penampilan sulung dalam pilihan raya pada tahun 1974 sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Jelebu-Jempol dengan perolehan majoriti besar sebanyak 10,562 undi. Susulan kemenangan tersebut, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi tempoh 1974 hingga 1976.
Portfolio Kabinet dan Pentadbiran
Kerjaya politik beliau terus berkembang pesat menerusi pelantikan ke pelbagai portfolio penting dalam kerajaan persekutuan serta pentadbiran negeri. Kronologi pelantikan jawatan beliau adalah seperti berikut:
| Tempoh / Tahun | Jawatan Pentadbiran / Kabinet | Institusi / Kementerian | Peristiwa & Catatan Penting |
|---|---|---|---|
| 1976 - 1977 | Timbalan Menteri | Kementerian Undang-undang | Dilantik selepas berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen. |
| 1977 – 1978 | Timbalan Menteri | Kementerian Dalam Negeri | Meneruskan khidmat dalam portfolio keselamatan domestik. |
| 1978 – 1982 | Menteri Besar Negeri Sembilan | Kerajaan Negeri Sembilan | Menerajui pentadbiran peringkat negeri selaku Menteri Besar. |
| 1982 – 1984 | Menteri | Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah | Memperkenalkan pembaharuan istilah dan menguruskan isu kebajikan tanah rancangan. |
| 1984 – 1986 | Menteri | Kementerian Penerangan | Bertindak sebagai jurucakap rasmi Kabinet ketika mendepani krisis Tragedi Memali. |
| 1986 – 1987 | Menteri | Kementerian Luar Negeri | Mengasaskan sistem "Sahabat Malaysia" sebelum meletak jawatan ekoran krisis dalaman parti. |
| Pasca-1987 | Pengasas Bersama | Parti Semangat 46 | Menyertai *Team B* bersama Tengku Razaleigh Hamzah selepas UMNO lama diharamkan. Beliau kembali menyertai UMNO semula selepas parti serpihan tersebut dibubarkan. |
| 1999 – 2003 | Menteri | Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) | Dilantik semula ke dalam barisan Kabinet persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 1999. |
| 2004 – 2008 | Menteri | Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) | Menerajui portfolio pembangunan kebudayaan dan pemeliharaan warisan negara. |
| 2008 – 2009 | Menteri | Kementerian Luar Negeri | Kembali menerajui Wisma Putra buat kali kedua selepas tempoh 21 tahun peletakan jawatan pertamanya. |
| 2009 – 2013 | Menteri | Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan | Mengendalikan portfolio gabungan komunikasi, penerangan, dan kebudayaan. |
Pembaharuan dan Pengurusan Krisis Kementerian
Sepanjang memegang pelbagai portfolio Kabinet, beliau telah membawa beberapa impak serta mengendalikan insiden-insiden penting negara:
- Sektor Kemajuan Tanah (1982–1984): Beliau memprakarsai penukaran istilah rasmi daripada "peneroka" kepada "peserta" yang melibatkan agensi persekutuan dan wilayah seperti FELDA, FELCRA, RISDA, KEJORA, PERDA, KETENGAH, dan DARA. Beliau turut berjaya menyelesaikan pertikaian kebajikan secara rundingan terus apabila turun padang mendepani insiden sekatan terhadap seorang Pengurus Rancangan Tanah Belia oleh para peserta di Lakai, Jelebu.
- Kementerian Penerangan (1984–1986): Ketika berlakunya Tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk 4 anggota polis, beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai jurucakap rasmi Kabinet. Beliau mengendalikan sesi penerangan berkesan menerusi medium radio, televisyen, dan akhbar bagi meredakan ketegangan awam sewaktu tindakan undang-undang dikuatkuasakan.
- Kementerian Luar Negeri (1986–1987 / 2008–2009): Pada penggal pertama di Wisma Putra, beliau telah mewajibkan para duta untuk mewujudkan sistem "Sahabat Malaysia" di negara penempatan masing-masing serta menganjurkan kursus perkembangan domestik. Peletakan jawatan beliau ekoran perpecahan *Team A* dan *Team B* dalam UMNO pernah diiringi oleh ucapan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Zainal Abidin Sulong: _“We at Wisma will always miss your company and leadership...who knows one day Datuk Rais will return to lead us once again at Wisma Putra,”._ Ramalan tersebut menjadi kenyataan apabila beliau dilantik semula menerajui kementerian yang sama pada tahun 2008.
Keputusan pilihan raya
| Thn | Konstituensi | Calon | Undi | Prts | Lawan | Undi | Prts | Buang undi | Majoriti | Keluar | ||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1978 | N02 Pertang | Rais Yatim (UMNO) | Menang Tanpa Bertanding | |||||||||
| 1990 | N06 Batu Kikir | Rais Yatim (S46) | 1,833 | 37.33% | Lilah Yasin (UMNO) | 3,077 | 62.67% | 5,154 | 1,244 | 74.95% | ||
| Thn | Konstituensi | Calon | Undi | Prts | Lawan | Undi | Prts | Buang undi | Majoriti | Keluar | ||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1974 | P089 Jelebu | Rais Yatim (UMNO) | 14,138 | 73.15% | Abdul Muluk Daud (DAP) | 3,576 | 18.50% | 20,924 | 10,562 | 82.02% | ||
| Zainal Abidin Bador (Bebas) | 1,614 | 8.35% | ||||||||||
| 1982 | Rais Yatim (UMNO) | 22,279 | 75.70% | Yap Sen Koong (DAP) | 5,477 | 18.61% | 30,285 | 16,802 | 78.19% | |||
| Raja Aziz Raja Karim (PAS) | 1,675 | 5.69% | ||||||||||
| 1986 | P103 Jelebu | Rais Yatim (UMNO) | 16,137 | 77.43% | Ishak Md Nazir (PAS) | 4,705 | 22.57% | 21,712 | 11,432 | 76.02% | ||
| 1990 | Rais Yatim (S46) | 12,780 | 49.24% | Ibrahim Sareh (UMNO) | 13,175 | 50.76% | 26,637 | 395 | 80.03% | |||
| 1995 | P113 Jelebu | Rais Yatim (S46) | 11,710 | 44.42% | Yunus Rahmat (UMNO) | 14,650 | 55.58% | 27,830 | 2,940 | 77.34% | ||
| 1999 | Rais Yatim (UMNO) | 17,028 | 63.21% | Jaafar Muhammad (KeADILan) | 9,909 | 36.79% | 28,236 | 7,119 | 75.65% | |||
| 2004 | P126 Jelebu | Rais Yatim (UMNO) | 20,650 | 77.87% | Rosli Yaakop (PAS) | 5,870 | 22.13% | 27,470 | 14,780 | 72.83% | ||
| 2008 | Rais Yatim (UMNO) | 19,737 | 70.83% | Norman Ipin (PAS) | 8,127 | 29.17% | 29,029 | 11,610 | 75.05% | |||
Penulisan
Hasil Penulisan
Penerbitan Karya dan Buku
Sebagai seorang penulis yang produktif, beliau telah menghasilkan pelbagai naskhah buku yang merangkumi bidang undang-undang, politik, kebudayaan, adat, dan biografi tokoh.
Berikut merupakan senarai karya dan penulisan yang telah diterbitkan oleh beliau:
| Bil | Tahun | Judul Buku | Penerbit / Nota |
|---|---|---|---|
| 1 | 1973 | Pola-Pola Antropologi | Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (Karya Terjemahan) |
| 2 | 1974 | The Hierarchy of Adat Perpatih in Negeri Sembilan | - |
| 3 | 1987 | Faces in the Corridors of Power – A Pictorial Depiction of Malaysians in Position of Power | Pelanduk Publications, Kuala Lumpur |
| 4 | 1995 | Freedom Under Executive Power in Malaysia | Endowment Publications, Kuala Lumpur |
| 5 | 2000 | Zaman Beredar Pusaka Bergilir | - |
| 6 | 2004 | Jelebak-Jelebu: Corat-Coret Anak Kampung | Dawama, Kuala Lumpur |
| 7 | 2006 | Cabinet Governing in Malaysia | Dawama, Kuala Lumpur |
| 8 | 2009 | Perjuangan Pri-Bumi | - |
| 9 | 2009 | Perjuangan Asas Bangsa | - |
| 10 | 2011 | Kabinet 1Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet | - |
| 11 | 2011 | 1Malaysia Cabinet: Reflecting on Cabinet Governing | Versi bahasa Inggeris |
| 12 | 2011 | King Ghaz: A Man of His Time | Selaku Editor |
| 13 | 2012 | Tunku: Still the Greatest Malaysian | Selaku Editor |
| 14 | 2013 | Pantun & Bahasa Indah: Jendela Budaya Melayu | - |
| 15 | 2013 | Meniti Badai Perjuangan | - |
| 16 | 2015 | Adat: The Legacy of Minangkabau | - |
| 17 | 2019 | Antara Cakap dan Pemikiran | - |
| 18 | 2020 | Peribahasa Melayu-Cina | - |
| 19 | 2021 | Budi Asas Tamadun | - |
Garis Masa Sebagai Ahli Parlimen
Garis masa sebagai Ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama lebih daripada 30 tahun

Anugerah & Penghargaan
Malaysia
Malaysia
Panglima Setia Mahkota (PSM) – Tan Sri (2013)[5][6]
Kelantan
Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) – Dato' (2002)[5]
Perlis
Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) – Dato' Seri (2010)[5]
Pahang
Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato' Sri (2005)[5]
Negeri Sembilan
(2001,[5] ditarik balik pada 30 Julai 2026)[7]
Darjah Seri Paduka Negeri Sembilan (SPNS) – Dato' Seri Utama(1979, ditarik balik pada 30 Julai 2026)
Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) – Dato'
Sabah
Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima (2010)[5]
Rujukan
- ↑ https://m.malaysiakini.com/news/773327
- ↑ Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Speaker Dewan Negara ke-18
- ↑ Menbudpar Indonesia-Malaysia Bertemu, Antara News.com, 20 May 2013
- ↑ Yatim, Rais (1995). Freedom Under Executive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy, p. xii. Endowment Publications. ISBN 983-99984-0-4.
- 1 2 3 4 5 6 "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat".
- ↑ "Ketua Setiausaha Negara ketuai senarai penerima darjah kebesaran". Astro Awani. 1 June 2013. Dicapai pada 23 January 2020.
- ↑ Singh, Sarban (30 July 2026). "Negri Sembilan palace revokes two titles awarded to Rais Yatim". The Star (Malaysia). Dicapai pada 30 July 2026.
Pautan luar
| Penyandang Terdahulu | Menteri Besar Negeri Sembilan 12 Julai 1978 – 29 April 1982 |
Penyandang Kemudian |
| Dato' Mansor bin Othman | Tan Sri Isa Abdul Samad |
| Penyandang Terdahulu | Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan 30 Mac 2004 – 8 Mac 2008 |
Penyandang Kemudian |
| ??? | Mohd Shafie Apdal |
| Penyandang Terdahulu | Menteri Luar Negeri 19 Mac 2008 – 9 April 2009 |
Penyandang Kemudian |
| Syed Hamid Albar | Anifah Aman |
- Penerima Panglima Setia Mahkota
- Penerima Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan
- Penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis
- Penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang
- Penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu
- Kelahiran 1942
- Orang hidup
- Muslim Malaysia
- Orang Malaysia berketurunan Minangkabau
- Orang dari Negeri Sembilan
- Orang Malaysia berketurunan Melayu
- Menteri Besar Negeri Sembilan
- Menteri Kerajaan Malaysia
- Peguam Malaysia
- Bekas anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia
- Bekas anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
- Anggota Parti Melayu Semangat 46
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia ke-14
- Yang di-Pertua Dewan Negara
- Menteri Luar Negeri Malaysia
- Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang)
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-4
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-6
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-7
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-10
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-11
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-12
- Penerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan
- Menteri Besar daripada UMNO
- Penerima Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu
- Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan ke-5
- Setiausaha parlimen kementerian Malaysia
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia ke-15


